Sunday, March 06, 2005

Kembali

Kira-kira sejam yang lalu, Mak Lijah menerima perkhabaran yang sedih mengenai kembalinya ke Rahmatullah, guru seni kami di Penang Free School dulu, Allahyarham Cikgu Kamal, pada Khamis 3 Mac.

Di minda Mak Lijah sekarang ini ibarat pemain video yang mengulang-tayang pengalaman berguru dengan beliau kira-kira 19 tahun yang lalu. Alangkah cepatnya masa berlalu. Tak sangka beliau akan pergi sebegitu awal.

Allahyarham cikgu Kamal merupakan seorang guru yang unik. Kiranya dikarikaturkan wajahnya, tak ubah seperti Profesor Serbatau dalam majalah Gila-Gila. Beliau "kurang" rambut, tapi berjanggut kerinting dan berkaca mata bulat. Beliau sentiasa ditemani gitar dalam kelasnya. Pantang diminta petik, pastinya lagu Ebiet G. Ade yang berkumandang.

Cikgu Kamal begitu meminati Ebiet dan rakan2 seangkatannya. Beliau mempunyai band sendiri. Ketika kelab tingkatan 6, PFS menganjurkan satu jamuan di rumah Mak Lijah dulu, dia membawa bersama bandnya dan antara yang menyanyi malam itu adalah Suriani Abdul Rahman, pengacara RTM yang juga classmate Mak Lijah. Kelas senilukis beliau terhad bilangan muridnya. Selain Mak Lijah dan Suriani Abd. Rahman, turut sama menuntut ialah Pravin Karan, juga seorang personaliti TV (kini di MiTV) dan tetamu tetap kami, Al-Ishal Ishak, worih Mak Lijah, yang pernah menjadi "covergirl" majalah Malaysian Business seketika dulu.

Allahyarham Cikgu Kamal memang amat berseni orangnya. Jiwanya sentimental terhadap pergolakan dunia sehingga dinamakan anak sulungnya, Palestine. Dan yang penting, dia seorang insan yang amat baik bicaranya hingga kami terlalu menghormati beliau. Susah melupakan seseorang seperti itu. Susah untuk tidak mengingati dia kerana dia sebahagian besar daripada Prinsipal A bagi subjek Senilukis yang tercetak pada sijil STPM Mak Lijah.

Al Fatihah.

No comments: