Sunday, June 13, 2004

Asam Pedas Tempoyak Ikan Patin

1 ekor ikan patin
6-7 biji cili padi
1 biji cili merah
2 tangkai daun kesum
1 keping asam gelugur
1 senduk kecil tempoyak
4 gelas air
gula, garam, serbuk perasa, ikut rasa

Cara-cara:
Blend cili dan masukkan ke dalam periuk bersama air, asam gelugur, daun kesum dan kacaukan tempoyak, disusuli dengan ikan dan semua perasa. Jerang hingga mendidih dan tunggu ikan masak ikut kesesuaian.

Itulah resepi yang biasa Mak Lijah guna untuk memasak menu kegemaran setiap kali pulang dari Pahang apabila mendapat bekalan ikan patin yang segar.

Pun begitu, rasanya masih tidak sama dengan yang Mak Lijah makan di restoran S.Z. Rahimah di Temerloh. Rasa masakan ikannya sungguh lazat, kuahnya boleh dihirup selepas ikan tinggal tulang saja. Memang patutlah, harga seketul ikan itu bermula dari RM18 dan saiznya adalah sebesar tapak tangan Affan. Sebabnya, ikan patin yang dihidangkan itu, adalah ikan patin yang dipancing di Sungai Pahang, yang ori, bukan yang dibela dalam sangkar.

Jadi, mana nak tahu betul ke yang tu ori ke tak ori? Bagi Mak Lijah yang baru mula menjamah ikan itu 11 tahun nan lalu, hanya kebelakangan ini Mak Lijah dapat mengenal ikan patin sungai ori dan ikan patin bela. Yang ori, isinya agak pejal sebab sifatnya yang merayau di dalam sungai. Maka ototnya agak keras kerna berenang jauh mencari makanan, namun isinya manis. Warnanya agak cerah, kelabu, berbanding patin bela yang hitam di belakangnya. Patin ori kurang lemak. Isi ikan patin bela amat lembut sesuai dengan sifatnya yang dimanjakan dalam sangkar.

Ikan Patin juga ada banyak jenisnya, ada patin muncung, patin buah dsb. Masing-masing ada keistimewaannya. Kalau ketemunya di Pekan Sehari setiap Ahad di Maran, maka ia adalah yang ori dan harga sekilo minimum RM30.

Apa-apapun Mak Lijah akan berusaha jua untuk singgah di Restoran S.Z. Rahimah itu setiap kali pulang ke Pahang demi menikmati juadah patin ori dan masak lemak udang galah. Ada juga beberapa kali Mak Lijah kempunan nak makan di situ. Oleh kerna kemasyuran restoran itu, lauk-pauknya habis seawal jam 1.30 petang.

Oleh itu, kepada kengkawan yang curious mengenai ikan itu dan bercita-cita untuk menikmati juadah ikan patin sungai masak tempoyak yang ori lagi lazat, singgahlah di restoran itu kerna Mak Lijah highly recommend.

Restorannya kecil dan simple saja, tidak glamour langsung. Kalau dari KL, letaknya selepas jambatan Temerloh. Sebaik-baik melintasi Hospital Temerloh (di sebalah kanan) yang hampir siap, cari stesen minyak BP di sebelah kiri kerna Restoran S.Z. Rahimah terletak betul-betul di sebelahnya.

Bersiap-sedialah dengan ongkos yang bersesuaian dengan selera anda dan pastikan anda tiba sebelum jam 1.00 petang, kalau tidak, kempunan....!

No comments: