Friday, February 27, 2004

Oh..negeriku

Bila ada peluang sikit sajapun, Mak Lijah akan berusaha juga untuk balik ke negeri Mak Lijah, ke kampung halaman yang aman damai tu. Walaupun jauh, tapi di penghujung jalan itu, Mak Lijah akan tersenyum puas dengan pemandangan dan udaranya yang nyaman.

Mak Lijah meninggalkan negeri itu lebih kurang 30 tahun nan lalu untuk merantau bersama ayah yang berkhidmat untuk negara. Sejak dari itu, pulangnya ke negeri itu adalah untuk bercuti sahaja. Sejak dari waktu itu hingga kini, kemajuan di sana masih perlahan...amat perlahan. Lampu trafik pertama di ibunegerinya hanya mula ada kira-kira 12 tahun lepas. Kedai-kedai baru hanya mula dibina kira-kira lapan tahun lepas dan jalan-jalan baru mula rancak dibuat dengan giatnya sejak lima tahun lepas sahaja. Oh negeriku....Negeri yang banyak mengeksport brain, kata seorang yang ternama.

Kuih-kuih yang dijual, masih lagi ada bernilai 10 sen sebiji. Tiada langsung yang 3 seringgit. Nasi lemak bungkus basic masih ada yang 20 sen satu, sekali-sekala ada juga yang 50 sen. Kalau teringin nak makan sup kaki lembu, pergilah beli kaki lembu tu kat nat Sabtunya di Balai Baru yang harganya di antara RM4-RM5, sekaki lembu, bergantung kepada S, M atau L. Putu mayam yang gebu-gebu, panas-panas... tak susah nak cari macam kat KL ni. Kalau nak laksa, sepinggan penuh hanyalah seringgit. Kenyangnya sampai ke esok. Semuanya sedap-sedap belaka.

Setiap kali Mak Lijah ditanya Mak Lijah ni orang mana, Mak Lijah akan beri mereka 3 peluang untuk meneka terlebih dulu. Namun... tak pernah walau sekalipun ada yang menjawab dengan tepat, kali pertama, kedua, dan ketiga. Kenapa yek? Kenapa negeri itu langsung tak masuk dalam tekaan mereka?

Mata Air, Arau nak pi Jejawi
Bukit Chuping, dekat To' Kayaman
Padang Besar, tetap Beseri
Namun di hati hanyalah Santan


Oh negeriku... Perlis Indera Kayangan..

Thursday, February 26, 2004

Lagu Anita Sarawak, "Seksis", telah diharamkan penyiarannya di semua rangkaian radio milik RTM. Alasannya adalah penggunaan beberapa perkataan yang bahasanya tidak boleh diterima, terutamanya, tajuk itu sendiri yang dikatakan tiada dalam kamus. Mak Lijah rasa pelik sebab lagu kempen membeli barangan tulen oleh KPDN disiarkan berulang-ulang kali walaupun perkataan "ori" tidak wujud dalam mana-mana kamus apa-apa bahasapun. Di mana keadilannya? -- sekadar memetik lirik lagu "Seksis".

What do they expect by banning any song? Adakah rakyat Malaysia akan terselamat daripada suatu malapetaka kerana berjayanya larangan penyiaran lagu tersebut?

Pun begitu, Radio Era dan mungkin lain-lain stesen radio swasta tetap menyiarkan lagu itu kerana iramanya agak menarik bagi genre muzik sedemikian. Apa yang lebih menarik? Irama atau lirik? Bagi pengamal-pengamal muzik rasmi (di sini bermaksud yang latarbelakang akademiknya muzik), dua-dua harus seiring. Untuk menang dalam sesuatu pertandingan, kedua-duanya harus saling melengkapi. Ini bermakna, kalau nak menang di hati pengadil rasmi yang tidak pernah sampai 10 orang, kedua-duanya mesti sama kuat. Betul ke? Tapi bagi pendengar biasa, yang pertama "ditangkap" ialah irama. Populariti lagu ini dinobatkan oleh berjuta-juta orang, berbanding pengadil-pengadil rasmi yang tak sampai 10 orang itu.

Semasa lagu "yellow submarine" oleh beatles menjadi hit suatu ketika dulu, ada tak rakyat malaysia pikir pasal lirik dia? irama lagu itu sungguh sedap didengar. Pada pendapat Mak Lijah, kalau nak mengharamkan sebarang lagu, biarlah kerana halatuju lirik, bukan kerana bahasa. Fungsi lagu komersil bukan untuk mendidik, tapi hiburan semata-mata. Kalau nak diharamkan lagu, lebih banyak lagu orang putih yang harus diharamkan kerana liriknya bersifat prejudis, berunsur seks, warna kulit, keganasan dan pelbagai lagi yang berunsurkan negatif.

Jangan padamkan ciptaan anak tempatan...

Wednesday, February 25, 2004

Menjadi dewasa

Kawan saya berpendapat bahawa walaupun manusia dah matang, tapi sifat kebudak-budakan tu tetap ada. Cuma tersimpan di belakang. Bila tiba waktu yang sesuai, dengan persekitaran yang merangsangkan, dia akan keluar dengan sendirinya. Saya sangat-sangat setuju dengan pendapatnya kerana ini pasti berlaku terutama sekali apabila bertemu dengan kawan-kawan lama yang berkongsi pengalaman dan kenangan pahit/manis bersama. Perlakuan ini diterima dengan senang hati dan hati yang terbuka.

Cuma ada kalanya ada yang terbawa-bawa sifat itu yang sama sekali tidak boleh dikeluarkan kerana ia menyakitkan bagi orang dewasa dan tidak sesuai lagi pada usia ini.

Orang-orang politik juga selalu bersikap kebudak-budakan. Bila ada apa-apa acara bersama rakyat, YB-YB akan turun padang dan sama-sama bermain tarik upih, kala panjang, dan sebagainya. Perlukah dibudak-budakkan YB itu untuk memenangi hati rakyat? Ini adalah persoalan universal bukan bermakna tidak bersetuju. Cuma musykil.

Melihat anak-anak membesar di depan mata adalah pengalaman yang begitu mengasyikkan. Sesekali akan terfikir, apa akan jadi kepada mereka apabila mereka dewasa nanti. Betulkah cara kita mendidik mereka untuk menjadi dewasa yang berguna? Hidup hanya sekali, jika tersilap langkah, terimalah padahnya, bukannya vcd player yang boleh pause dan rewind. Kita tak pernah menjadi ibu/bapa. Semuanya berpandukan bagaimana ibubapa kita mendidik kita dulu, apa yang kita sendiri rasa patut kita didik dan sedikit-sebanyak apa yang persekitaran kita praktikkan. Tapi betul kah apa yang kita buat tu? Siapa yang tahu?

Buat Affan yang menyambut ulangtahun ke 11 pada 15 Februari nan lalu, semoga didikan mama dan daddy menjadi bekalan yang cukup.

Tuesday, February 24, 2004

Malas rasa nak kerja selepas 45 hari "bebas minda" daripada tugas-tugas rasmi. Tetapi Mak Lijah rasa, malas ini harus dimaafkan kerana Mak Lijah perlu memulihkan kembali momentum yang ditinggalkan 45 hari lepas. Lagipun sebelum ini Mak Lijah tak mampu untuk berasa malas sebab tak sempat nak fikir untuk bermalasan. Maka wajarlah Mak Lijah dimalaskan sebentar.

Ada banyak kategori malas. Ada yang malas memang malas terus tak nak buat dan tak nak pikir pasal kerja. Ada yang malas buat kerja yang disuruh atau sememangnya tanggungjawab sendiri, tetapi rajin buat kerja lain yang tak berkaitan dan tak produktif. Ada yang malas kerana protes...Bukannya tak der kerja tapi sengaja tak nak buat. Dan ada malas yang macam Mak Lijah ni. So, maafkanlah....

Tuesday, February 10, 2004

Menyusur laluan Desa Sri Hartamas setiap pagi sejak sebulan yang lalu, Mak Lijah dah terer bab mengenalpasti pemandu-pemandu warga Hartamas. Kini Mak Lijah hanya senyum sinis bila mana-mana kereta mewah secara tiba-tiba memintas ke laluan Mak Lijah dan memandu perlahan di lorong laju itu. Ah... reti ke tak reti undang2 jalanraya bukannya isu. Isunya kereta mewah boleh memandu perlahan di lorong laju, dan berlagak di jalanraya....gitu? Tak cukup itu, boleh mempamerkan pelbagai isyarat sebagai membantah bantahan kita. Adakah kerana isi kereta itu memberi mereka kuasa untuk berkelakuan sesuka hati?Hmmm... beginikah pemandu Malaysia.. atau Kuala Lumpur... atau Hartamas?