Hari ini merupakan hari terakhir Mak Lijah di sini setelah berkampung di Putrajaya selama sebulan. Apa nak buat, dah tak ada jodoh antara Mak Lijah dengan Putrajaya.
Sempena dengan hari terakhir ini, Mak Lijah mengambil kesempatan untuk meronda-ronda dengan kereta biru Mak Lijah di sekitar Putrajaya. Setelah puas meninjau bangunan-bangunan cantik dan struktur jambatan yang mengagumkan, jauh di sudut hati Mak Lijah ada jua sedikit rasa terkilan kerana tidak berpeluang untuk berkhidmat di sini.
Selama sebulan berada di Putrajaya, tidak pernah sedetikpun Mak Lijah rasa bosan kerana setiap saat di sini dimanafaatkan sepenuhnya. Puas sungguh Mak Lijah membaca setiap jenis akhbar dari muka surat pertama hingga yang terakhir, artikel demi artikel. Tidak pernah Mak Lijah membaca sebegitu terperinci sekali sepanjang hayat Mak Lijah. Tak cukup dengan akhbar, habis segala majalah Mak Lijah belek sepuas-puasnya. Dari majalah yang memaparkan gambar-gambar wedding of the year hinggalah ke majalah resipi, hiasan rumah/landscape, fotografi sampailah ke bisnes.
Tapi yang paling Mak Lijah terkesan ialah peluang bertemu kawan-kawan seangkatan dan dapat makan tengahari bersama-sama sambil bertukar-tukar pendapat, cerita, soalan dan kutuk-mengutuk. Terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan yang telah membelanja Mak Lijah di pelbagai tempat makan yang menarik di Putrajaya ini dan juga di kediaman mereka. Sesungguhnya masa sebulan di Putrajaya cukup pendek sekali dan sungguh berharga sekali. Semoga suatu hari nanti Mak Lijah dapat jua peluang untuk berkhidmat di Putrajaya nan indah ini....
Adieu Putrajaya....
Friday, June 10, 2005
Selamat Tinggal Putrajaya
No comments:
Post a Comment