Friday, January 28, 2005

Obersi II

Maka berangkatlah kami sekapal ke Parlemo, Sicily dengan keluarga Melayu tadi duduk nun jauh di belakang. Tekak Mak Lijah berasa semakin perit sekali kerna kehausan.

Sesampai di airport Parlemo, Mak Lijah disambut oleh wakil sebuah pertubuhan perniagaan Malaysia yang memang Mak Lijah kenali dan juga Ketua Eksekutif beliau. Mereka memberi sambutan yang sungguh baik dalam kedinginan musim luruh di Eropah. Keluarga Melayu tadi turut diberi sambutan yang sama dan Mak Lijah diperkenalkan kepada mereka oleh wakil pertubuhan itu. Rupa-rupanya Dato' berkenaan mewakili ahli perniagaan Malaysia dan merupakan peserta delegasi Malaysia ke persidangan yang diketuai oleh pejabat Mak Lijah.

Mak Lijah bersahur dengan Indomie campur serunding di bilik hotel yang sempit, manakala berbuka dengan buah zaitun dan secawan kopi panas Itali. Indomie direndam dalam air suam-suam kuku yang diambil dari shower bilik air. Yuck! Semoga Allah menerima amalan Mak Lijah pada ketika itu kerna Mak Lijah tidak dapat memastikan arah kiblat dengan tepat untuk bersolat.

Setiap kali lepas kembali dari persidangan (dan berbuka ala kadar), Mak Lijah dibelanja makan malam di restoran makanan laut oleh wakil-wakil pertubuhan tadi. Lazatnya menikmati ikan segar yang digrill. Ada sekali tu, disebabkan kemaruk nak makan nasi, Mak Lijahpun meminta risotto. Apa yang Mak Lijah dapat? A rice dish made of short fat (almost round) grain of rice in thick tomato sauce. Yuck!

Suatu hari, Mak Lijah berjumpa dengan keluarga Melayu itu di sebuah bakery. Setelah puas membelek segala roti yang ada di situ, akhirnya Mak Lijah jumpa satu sahaja roti yang tidak mengandungi lard. Rotinya keras tapi, tak apalah, janji dapat mengisi perut waktu sahur nanti. Ketika beratur, Mak Lijah melihat Dato' tadi hendak membeli roti yang mengandungi lard (bungkusan roti itu tertulis kandungannya dalam bahasa Inggeris), yang Mak Lijah awal-awal lagi kembalikan ke raknya. Lalu Mak Lijahpun memberitahu dia, dengan niat yang baik, bahawa roti berkenaan mengandungi lard dan Mak Lijahpun tunjukkan pada dia di mana tertulisnya perkataan itu. Kemudian, Dato' itu bertanya kepada cashier itu (yang tidak mengerti Bahasa Inggeris), "This bread has got lard?"

Mak Lijah terus beredar selepas itu tanpa ingin mengetahui apa yang berlaku berikutnya.

http://www.sicilian.it/province.cfm?provincia=pa&p=palermo

Obersi

Mak Lijah tak pernah belajar obersi. Mak Lijah tak pernah menyentuh salji. Kali pertama Mak Lijah ke obersi ialah ketika Mak Lijah berusia 16 tahun. Ke Australia. Ayah Mak Lijah membawa kami sekeluarga bercuti.

Kali pertama Mak Lijah berpuasa di obersi ialah pada tahun 1999, di Italy. Mak Lijah tiba di airport Rome di suatu subuh yang dingin. Dah bersahur di dalam kapalterbang tadi, tapi haus sungguh rasa tekak ini. Menolak trolley ke hulu ke hilir mencari kaunter Alitalia, tak ketemuan. Kalau rapuh iman pada kala itu, memang sudah tewas di cawan cafe latte atas dasar musafir. Pun begitu Mak Lijah fikir, aaahh... bukannya nak mati sangat, kalau nak buka puasa pun.

Dari jauh kelihatan sebuah keluarga yang seperti keluarga Melayu, kerana ada seorang wanita yang memakai tudung seperti wanita di Malaysia. Mereka juga kelihatan seperti mencari-cari sesuatu. Lalu Mak Lijah menghampiri mereka. Anehnya, wanita tadi terus berlalu sebaik sahaja Mak Lijah mendekati mereka, walaupun Mak Lijah melemparkan senyuman perkenalan setelah pasti mereka adalah orang Melayu Malaysia. Tak apa, lah...

Setelah hampir sejam melilau, akhirnya ketemu jualah kaunter Alitalia yang baru dibuka rupanya. Ditakdirkan bertemu lagi keluarga Melayu tadi yang sedang beratur untuk check-in. Mak Lijahpun beratur di belakang mereka. Sambil itu, Mak Lijah mendengar perbualan anak-anak mereka yang berusia di antara tujuh hingga 10 tahun. Antara yang Mak Lijah tertangkap perbualan mereka ialah, "Abah, orang putihpun ada Dato' ke, macam abah?"

Friday, January 21, 2005

Aku dan Nescafe

Sebelum menulis di blog ini tadi, Mak Lijah membancuh segelas nescafe berais. Masuk yang ini, dah 5 gelas nescafe Mak Lijah minum hari ini.

Nescafe semacam memberi ilham untuk Mak Lijah menulis. Sekarang ini Mak Lijah sedang bertungkus-lumus menghabiskan term paper untuk dihantar hari Isnin nanti. Powerpoint presentation, belum buat lagi.

Semasa Mak Lijah menuntut di USM dulu, Mak Lijah berasa sukar untuk belajar pada lewat malam kerana tiada nescafe untuk dihirup dan tiada ais untuk menyejukkannya. Masa tu, Mak Lijah tinggal di Desasiswa Permai.

Semasa Mak Lijah berada di Madrid tiga tahun lalu, setiap malam Mak Lijah akan turun ke bar hotel untuk menikmati kopi Sepanyol yang sungguh enak rasa dan baunya. Ketika bersahur di airport Madrid bersama roti nan yang lazat, sempat juga Mak Lijah membeli nescafe (buat kali terakhir sebelum pulang ke Malaysia) di vending machinenya dan menikmati aromanya yang sungguh enak. Terfikir juga Mak Lijah, kenapa nescafe di vending machine kat Malaysia tidak selazat itu.

Itu dulu. Bila nescafe memperkenalkan kopi Arabicanya, Mak Lijah dah kurangkan intakenya kerna Mak Lijah kurang menggemari rasa dan bau barunya. Jenuh Mak Lijah mencari alternatif yang sesuai. Indocafe, Moccona, Kopiko, dsb telah dicuba namun tidak memenuhi citarasa Mak Lijah. Pun begitu, baru-baru ini, Mak Lijah terjumpa botol nescafe yang bertulisan asing. Ia bukan nescafe yang selalu dilihat, tetapi kertas pembalutnya berwarna keemasan dan berbahasa Sepanyol. Mak Lijahpun mencubalah. Amboi lazatnya. Sekarang Mak Lijah dah ada alternatif, maka intake nescafe pun kembali seperti dulu. Kalau tak bernescafe sehari, rasa semacam pulak...

Thursday, January 13, 2005

Aku Tidak Bermimpi Lagi

Of late ni Mak Lijah seringkali tersenyum sendirian teringatkan suatu mimpi yang aneh dan melucukan.

Mak Lijah bermimpi yang pada suatu hari itu, ketika Mak Lijah sedang menonton tv, Putiha tiba-tiba saja muncul di depan pintu, kembali dari Indonesia. Maka Mak Lijah berkata, "Eh, mimpikah aku ni? Tak mungkin Putiha dah balik." Mak Lijah berulang kali menyebut, "Mimpi, aku ni..." Melihatkan Mak Lijah berulang kali menyebutnya, Putiha pun berkata, "Agaknya betul lah ibu bermimpi."

Dan mimpi Mak Lijah pun berakhir di situ.

Tapi malam tadi Mak Lijah tidak bermimpi lagi. Putiha telah benar-benar kembali ke sini. Alhamdulillah. Maka berakhirlah episod yang penuh traumatik selama 42 hari.

Semasa berada di KLIA semalam, jantung Mak Lijah mengepam dengan amat deras sekali dan darah mengalir sebanyak 77 liter agaknya... kerna kerisauan takut-takut dia tak sampai jua.

Mak Lijah akan berusaha mengutip kembali cebisan-cebisan yang bertaburan dan mencantumkannya kembali menjadi jigsaw puzzle yang cantik, Insya-Allah.

Aku tidak bermimpi lagi.

Wednesday, January 12, 2005

7 hari sudah berlalu

Kakak dah mula comfortable about going to school. Masa first 2 days, dia memang nampak tension walaupun dia sebenarnya teruja teramat sangat about going to primary school.

Sekolah-sekolah sekarang diwajibkan menganjur program orientasi selama dua minggu. Murid-murid Tahun 1 mesti berada di dewan for the first half of the morning untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tertentu bertujuan mengenali rakan-rakan baru dan lain-lain tujuan lagi.

Pun begitu, Mak Lijah rasa, budak-budak tu tidak comfortable dengan suasana begitu kerana keadaan dewan yang panas, murid-murid yang ramai dengan pelbagai karenah, bising dan sebagainya. Ini menyebabkan mereka tension dan tidak selesa. Pendapat Mak Lijah disokong oleh semua ibu-ibu yang turut sama mengiringi anak-anak mereka ke sekolah.

Mujurlah masuk minggu ini, kakak dah mula menerima hakikat bahawa aktiviti-aktiviti sedemikian harus ditempuhi juga. Kakak juga teruja about going to school sebab mama sentiasa membuat bekalan yang sedap-sedap, katanya. So far Mak Lijah sudah membekalkan dia ayam goreng, nasi lemak, gulungan sosej, beehoon goreng dan macaroni (hari ini). Besok? Hmm... masih memikirkan menu yang interesting...

Monday, January 03, 2005

Ala...manda!

Akhirnya Mak Lijah berpeluang jua berkunjung ke situ hari minggu lepas. Ramainya manusia. Tempat parking dalam bangunan ada, tapi orang berebut-rebut nak menghias jalan dengan trafik kat luar. Kenapa, yek?

Yang Mak Lijah meng"Ala....manda"kan kat tempat tu ialah kerana sikap segelintir orang kita yang sungguh memalukan.

Semasa di Carrefour, memang Mak Lijah beratur untuk membayar dengan troli yang serong sedikit kedudukannya, kerana Mak Lijah datang dari bahagian fresh mart. Dek kerna kesempitan ruang, maka Mak Lijah tak dapat nak membetulkan troli Mak Lijah supaya queue itu lurus. Sedang dok melangun menunggu giliran untuk membayar, datang seorang lelaki ini dengan trolinya dan mendekati sangat rapat ke troli Mak Lijah. Makin pendek queue di depan, makin agresif pergerakannya untuk mengambil-alih tempat Mak Lijah. Aik? Apa dah jadi? Akhirnya dia berjaya juga "memotong" kedudukan Mak Lijah kerna Mak Lijah tidak begitu agresif untuk bertindak balas. Malu ah dong? Dah dewasa macam ni pun nak buat perangai macam tu?

Nak dijadikan cerita, tiba-tiba cashier di sebelah dibuka. Apa lagi, Mak Lijahpun tolaklah troli ke cashier tu dan menjadi yang pertama membayar di situ, sekaligus "memotong" kembali mamat tadi. Mak Lijah memberikan dia senyuman sinis (macam kawan Mak Lijah yang sorang tu) sambil berlalu.

Alahai...manda....
Alam anda!

Saturday, January 01, 2005

Selamat Datang 2005

Tahun 2004 memang signifikan. Bukan bagi Mak Lijah seorang, malah bagi ramai rakan-rakan Mak Lijah. Menyambut orang baru, kehilangan orang tersayang, berpindah ke tempat baru, melanjutkan pelajaran, dapat kawan baru, fesyen rambut baru dan bermacam-macam lagi.

Dan pastinya yang paling signifikan adalah dugaan dari Yang Maha Esa ke atas hamba-hambanya yang kerdil di bumi yang hanyalah tempat menumpang ini. Sedangkan di bumi yang gersang dan kehausan dengan kepanasan boleh disaljikan. Amaran-amaran semakin keras bentuknya... Mungkin masanya semakin hampir. Cukupkah bekalan? Masakan cukup? Bekalanpun tak ada.

Mana ada pusingan kedua? Mana ada peluang kedua? Ini sajalah masa yang ada.

Selamat datang 2005, moga sempat aku menambahkan bekalan untuk suamiku, anak-anakku, ibubapaku dan seluruh anggota keluargaku juga rakan-rakan seperjuangan.