Kerapkali Mak Lijah diajak untuk 'menebas' oleh kawan-kawan Mak Lijah. Malahan di pejabat Mak Lijah dulupun, pegawai-pegawai yang lebih senior beriya-iya benar mengajak Mak Lijah ke kelab untuk menebas, sehingga Mak Lijah terpaksa menceritakan peri fobia Mak Lijah terhadap golf untuk menghentikan kesungguhan mereka mengajak.
Semasa Mak Lijah berusia di antara tujuh dan 11 tahun, Mak Lijah tinggal di Teluk Anson (kini Teluk Intan), Perak, kerana mengikut Ayah berkhidmat di situ. Pada ketika itu, Almarhum Raja Musa adalah Raja Muda Perak yang bersemayam di bandar tersebut. Hobi Almarhum adalah menebas setiap petang. Ayah merupakan salah seorang rakan sepermainan baginda dan telah menjadi resmi Ayah, setia kepada Raja (Mak Lijah pernah cerita mengenai kesetian Ayah kepada Raja dan negara). Maka setiap harilah Ayah akan berada di kelab golf untuk menemani Almarhum.
Pada ketika itu, Mak Lijah dalam proses pembesaran, baru mendapat adik dan terasa perlu diberi perhatian. Kenapa Ayah tiba-tiba sering tiada di rumah waktu petang, tetapi senantiasa berada di Kelab Golf, sedangkan dahulu, masa tinggal di Tapah, Ayah sentiasa ada di rumah dan sering membawa Mak Lijah ke taman permainan. Mak Lijah rasa amat sedih dan kecewa akan peralihan perhatian itu.
Suatu hari Mak Lijah meminta sebuah jam tangan dari Ayah dan berkata kepada dia yang Mak Lijah mahu dia sendiri membawa Mak Lijah ke kedai dan memilih untuk Mak Lijah. Setelah berkompromi, akhirnya ayah bersetuju untuk membawa Mak Lijah. Tiba hari yang dijanjikan, Emak berkata yang kami akan sama-sama pergi menjemput Ayah dengan kereta. Dalam keseronokan, Mak Lijahpun naiklah kereta Opel hijau Ayah. Dipendekkan cerita dan dipendekkan keseronokan, Emaklah jua yang menemankan Mak Lijah memilih dan membeli jam tangan baru, dan kami hanya menjemput Ayah selepas itu, di Kelab Golf. Pada saat itulah Mak Lijah mengisytiharkan yang golf adalah musuh ketat Mak Lijah dan dari saat itulah bermulanya fobia Mak Lijah terhadap golf.
Monday, April 25, 2005
Golf dan Aku
No comments:
Post a Comment