Friday, November 19, 2004

Putihah buat hal....lagi

"Bu, saya coba menukar tarikh kembali, nak diundurkan ke depan, tapi Air Asia kata tak boleh sebab tempahannya dibuat dengan internet."

Aik? Kalau iyapun, tanyalah dulu samada Mak Lijah boleh beri dia cuti tambahan atau tidak? Ini terus assume yang dia dah boleh sambung cuti dan dengan senang-lenangnya nak mengubah tarikh balik ke Malaysia.

"Bu, kata Air Asia, boleh ditukar, tapi kena bayar RM250. Macam mana ya?"

Kepala hotak engkau! Itu bukannya tukar, itu beli tiket baru. Ingat aku nak tolong bayarkan? Mintak maap. Aku dah belikan tiket untuk pulang pada 21 November 2004. Selain dari itu, tanggung sendiri.

"OK lah, assalamualaikum." Klik. Terus diletakkan telefonnya.

Danisy, Aku dan Lipas

Ya, terjumpa lipas dalam spagheti Kyros Kebab. Tinggal beberapa suap jer lagi nak habis.



Dah tinggal sehari jer lagi sebelum kami bertolak balik ke Perlis dan Putihah berangkat ke kampungnya. Kamipun mengambil keputusan untuk tidak mengotorkan dapur lagi dan disokong oleh mood raya yang sakan, maka pergilah kami ke Jaya Jusco Metro Prima untuk berbuka di Arena.

Seperti biasa, Mak Lijah akan memesan makanan yang tidak akan dimasak di rumah, dan juga menu kegemaran Danisy, iaitu, spagheti. Rasanya memang lazat, mungkin sebab kelaparan, tapi Danisy memang benar-benar meminatinya. Sambil-sambil itu, menghirup teh tarik.. Aaahhh... lazatnya...

Seperti tajuk dan mukaddimahnya... maka Mak Lijah langsung tertutup selera dan bukan setakat itu sahaja, rasa macam nak keluar balik pun ada, tapi terpaksa maintain....

Nak pulangkan balik dan minta pampasanpun rasa tak berbaloi kerna yang membuatnya seorang wanita Indon yang lurus bendul dan tak berapa cerdik. Langsung Mak Lijah terputus selera sampai ke esok nya. Alahai nasibku....

Monday, November 08, 2004

Persiapan Syawal

Kawan Mak Lijah meminta Mak Lijah menulis mengenai persiapan untuk menyambut lebaran dalam versi Mak Lijah.

Lama juga memikirkan apakah bentuk persiapan Mak Lijah untuk menyambutnya kerana masa dan akal Mak Lijah sentiasa saja dipenuhi dengan persiapan Ramadhan, iaitu persiapan untuk berbuka ataupun bersahur. (Lagipun, apalah bezanya persiapan Mak Lijah dengan orang lain?)

Ini semua kerana Mak Lijah mempunyai terlalu banyak masa senggang berbanding (secara relatifnya) semasa Mak Lijah berpejabat dulu. Makanya, Mak Lijah kini ada autoriti penuh untuk menentukan juadah berbuka berbanding dulu yang sentiasa terkejar-kejar ke pasar ramadhan. Pun begitu, sekarangpun Mak Lijah masih jua ke pasar ramadhan, tapi dalam suasana yang aman dan tidak terkejar-kejar semata-mata untuk mencari kuih akok dan lain-lain kuih yang Mak Lijah rasa complicated sikit untuk dibuat.

Bila dah tinggal tak berapa hari jer lagi nak masuk bulan Syawal, barulah Mak Lijah terperasan untuk bersiap-sedia menyambutnya. Perkara pertama, tentulah membuat kuih Raya. Projek kuih Raya yang pertama hancus kerna resepi kuih semperit bertukar menjadi kuih MT. Perit untuk mengingatinya kerna bimbang puasa Mak Lijah kurus jadinya.

Pun begitu, setelah mengumpul semangat selama seminggu, Mak Lijah bangkit semula (bukan untuk buat kuih bangkit) dan membuat tiga jenis kuih sekaligus dalam masa sehari, diikuti dengan kuih semperit yang ternama tu. Maka siaplah empat jenis. Kuih yang lain-lain tu, adalah kuih tunjuk belaka.

Tibalah masa untuk membeli baju Raya. Bab ni Mak Lijah boring sikit sebab anak-anak jantan Mak Lijah ni jenis yang tak suka menerai baju kat fitting room. Jenuh mengejar diaorang, ibarat main baseball jadinya. Membeli baju untuk Danisy, perlu berhati-hati sikit kerna Mak Lijah perlu membelikan dia saiz yang dua kali lebih besar, maknanya, Mak Lijah kena beli saiz untuk budak empat tahun untuk dia. Berbanding dengan kakak, yang saiz bajunya mestilah samada seusia dengan dia ataupun setahun kurang. Ini adalah kerna kakak adalah seorang yang petite.

Eh, mana persiapan untuk Mak Lijah sendiri?

Thursday, October 28, 2004

Macam-macam ada...

Dalam kelas Mak Lijah ada 19 orang pelajar yang pelbagai karektornya atas dasar latarbelakang mereka. Ada lima orang pelajar asing, Russia, Croatia, Senegal, Cambodia dan Liberia. Yang lain-lainnya adalah warganegara Malaysia, lapan daripadanya anggota beruniform termasuklah juruterbang pejuang wanita pertama Malaysia.

Masing-masing dengan pe'el masing-masing. Yang pelajar-pelajar asing ni, sifatnya suka menunjuk-nunjuk dalam kelas, persistent, penuh syak wasangka, sering keliru atau pura-pura keliru dan suka memperkecilkan orang lain. Tapi mereka rajin, hard working kata orang putih. Tapi dalam bersifat rajin itu, mereka kedekut ilmu. Tak mahu berkongsi maklumat dengan orang lain.

Pelajar Malaysia pula, yang signifikan adalah pelajar anggota beruniform. Bukan kerana apa, mereka signifikan kerana seringkali terlupa bahawa bukan semua pelajar adalah anggota beruniform yang hanya mengikut perintah. Maka pertuturan mereka seringkali berunsurkan perintah, bukannya meminta kerjasama. Sesama merekapun masih berbahasakan Tuan. Sifat angkuh tu, tak payah ceritalah... Bila ada group study, seorang yang berpangkat Kolonel, memarahi seorang Mejar kerana Mejar itu berani meminta dia (Kol.) membuat kerja. Padahal itu adalah group study di mana setiap seorang akan diminta berbincang mengenai sesuatu topik. Tetapi mereka rajin tolong orang dan orang yang selalu kena tolong ialah Mak Lijah. Mereka juga sporting dan banyak jenaka-jenaka tentera yang telah Mak Lijah ketahui.

Mak Lijah bukan apa, sebut tentera ajer, dah semacam ada fobia dengan kelompok itu. Dari merekalah Mak Lijah dapat tahu yang Azmil telah diminta berhenti dari Askar Wataniah atas sebab-sebab tertentu yang enggan mereka ceritakan. Nak coverlah tu.

Tuesday, October 19, 2004

Di Peluang Ini

Bukannya mudah Mak Lijah nak dapat peluang sebegini. Dapat duduk saja kat rumah, menjadi surirumah sepenuh masa. Dapat melihat anak-anak pergi dan balik sekolah. Dapat masak full time dan tak perlu bergantung sepenuhnya kepada Putihah. Dapat duduk and take my time untuk membaca buku resepi dan dapat privilege untuk memilih yang mana satu untuk dimasak. Dapat memandikan Danisy saban pagi, meggosok giginya yang comel itu, memakaikan baju kesukaannya (t-shirt Elmo adalah favoritenya) dan menyikat rambutnya yang kerinting seperti Daddynya.

Dapat 'bergaduh' saban hari dengan Abang dan Kakak tentang kerja rumah dan exam mereka. dapat memberi mereka kelas tuition dengan personal touchnya lagi.

Alangkah bahagianya! Alangkah bahagianya kiranya ini berpanjangan. Tapi itu semua hanyalah idealisme dan Mak Lijah perlu kembali ke alam nyata. Dan itu jugalah merisaukan kerna khuatir anak-anak akan menjadi terlalu selesa dengan kehadiran mamanya sentiasa di rumah. Mereka juga perlu belajar mengenai realiti kehidupan. Realisme...

Pun begitu, Mak Lijah akan memenuhi jua setiap ruang yang ada di peluang ini.

Monday, October 18, 2004

Persiapan

Putihah akan berangkat pulang untuk bercuti di kampung halamannya mulai 11 November ini. Maka persiapan mental yang sepatutnya perlulah dibuat. Antaranya ialah mengambil tahu:

1. Bagaimana nak menggunakan mesin basuh.
2. Di manakah letaknya bekas-bekas makanan, selain dari yang kat kabinet.
3. Jangan lupa menyiram pokok bunga setiap hari.
4. Check barang dapur sentiasa.
5. Mesin cili kering untuk stok.
6. Belajar melipat dan menggosok baju.
7. Basuh kereta sendiri.
8. Menjaga Danis etc 100%
9. Memastikan susu Danis sentiasa ada stok.
10.Basuh SEMUA pinggan sendiri.
11. Bersiap untuk masak sendiri (kupas bawang, halia, ambil serai, potong cili, siang ikan, ayam etc).
12.Explore peti sejuk.
13.Semua kerja yang berkaitannnnnnnnnn

Bukannya persiapan untuk berhari raya, tapi persiapan untuk berdikari. Mujurlah tengah cuti belajar. If not.. celaru jadinya.

Alaaa... Bukannya tak biasa buat, seperti yang Mak Lijah bicarakan dulu. Alah bisa, tegal biasa. Tak gitu?

Monday, August 16, 2004

Phenomenon II

Dahpun berakhir wabak hiburan itu dan jelas memang Zahid deserved to win.

Mak Lijah terlupa akan bakat Farah. Semasa menonton semula konsert semi-final, ternyata persembahannya sungguh menakjubkan dengan lagu "Mengapa" (bukan lagu A. RahmanHassan). Seperti yang diulaskan oleh Ramli M.S, suara Farah bagus range nya, dari setinggi-tinggi key hinggalah ke serendah-rendahnya. Sayang, undi tidak memihak kepadanya.

Adam dan Linda ternyata menang populariti. Pun begitu, Kaer, Farah dan Bob tetap menang di hati Mak Lijah kerna mereka akan popular juga dalam kumpulan peminat mereka sendiri.

Sunday, August 08, 2004

Phenomenon

1 fact or occurance, esp in nature or society, that can be perceived by senses.
2 remarkable person, thing or event.

-Advanced Learner's Dictionay (Oxford, 1994)

Bagi Mak Lijah, yang relevan ialah yang no. 2, dan berwarna itu.

Wabak Akademi Fantasia (AF) itulah yang merebak sekarang ni. Kini ia dah hampir sampai ke kemuncak. Akhirnya keadilan jua yang memihak. Sorrylah kepada mereka yang mengundi kerna simpati kerna itu tidak menjadi. Mak Lijah tak kisah dah siapa yang akan mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga kerna bagi Mak Lijah, kesemuanya sudahpun menjadi juara kerna semuanya sangat talented berbanding musim pertama. Memang tough fight kali ini.

Pandangan peribadi mengenai pilihan Mak Lijah (mengikut turutan):

Zahid - he is an original, a true entertainer. Suara yang lunak sekali. Dialah yang paling banyak dicabar bakatnya kerna sering diberi pelbagai jenis/rentak lagu. Pun begitu, setiap lagu dibawa dengan amat baik. Kalau tak dapat no. 1 pun (kerana kurang %), tak apa sebab dia akan jadi terkenal juga.
Kaer - cute. Suara lunak dan power, pandai manipulate nada, macam Vince. Semua kualiti yang baik as a singer ada pada dia, kecuali, performance dia turun-naik saban minggu (on that, I have to agree with Kudsia), itupun mungkin kerna ketidak-sesuaian lagu.
Bob - Suara sangat power.Tak sangka pandai menari. Pun yang paling banyak dicabar bakatnya. Sporting, tetapi tak ada commercial value kerna saiznya. Akan jadi popular juga nanti.
Pilihan alternatif:
Adam - cute, baby face. Suara kureng power berbanding Kaer, Bob dan Zahid. Pandai menari, tetapi terlalu emosional dan sangat takut kalah, tetapi overall, Adam mempunyai commercial value. Akan jadi popular nanti.

Dan yang paling 'terganggu' dengan phenomenom ini ialah Putihah. Pada malam konsert AF, jangan diminta dia membuat apa-apa kerna tiba-tiba sahaja sistem pendengarannya tidak berfungsi. Mulutnya juga akan ternganga sentiasa. Mujurlah sistem pengawalan aliran air liur berjalan baik. Suaranya dah tak dapat dikawal. Gelak mengikik macam tak ada orang lain kat situ. Pada kala itu, dia terlupa siapa majikan, siapa tetamu dan siapa dia, kerna dia akan duduk di sofa seperti tiada siapa yang hadir di kelilingnya dan dunia milik dia.

Minatnya dikongsi dengan pembantu abang Mak Lijah, yang tinggal di Sg. Buluh. Maka mereka akan berbicara mengenai siapa yang akan dan dah keluar,apa yang dikatakan di laman chatting, peratus undian, lagu dsb menerusi talian tetap. Mujur tak ada telefon genggam. Kalau tidak, hotlink memang hot dengan Indons.

Itulah yang dinamakan phenomenom yang bakal berakhir minggu depan.

Friday, August 06, 2004

Sekali Lagi

Mak Lijah dikejutkan lagi. Kenapalah harus terjadi lagi. Lagi....lagi...

Semasa berhenti di sebuah simpang di jalan belakang dekat Mesjid Wilayah, sebuah teksi mengehon dari belakang. Beriya sungguh dia mengehon. Apakan daya, banyak kereta. Masakan boleh melintas.

Maka pemandu teksi itupun decided to memintas kereta Mak Lijah. Tak kisahlah, asalkan Mak Lijah tak dilanggar mana-mana kereta. Kebetulan pula, sebaik-baik saja dia memintas, Mak Lijahpun dapat melintasi jalan dengan teksi itu kini berada di depan pula.

Kira-kira 50 meter kemudian, tiba-tiba teksi itu berhenti di tengah jalan. Eh, apahal? Mak Lijahpun terpaksalah berhenti juga. Begitu juga dengan van di belakang kereta Mak Lijah dan kereta-kereta lain di belakang van itu. Kenapa teksi tu berhenti di tengah jalan?

Maka 20 saatpun berlalu dengan teksi itu tidakpun menunjukkan sebarang tanda yang ia akan bergerak. Sebagai tindakbalas biasa, Mak Lijahpun menekan hon. Tiba-tiba seorang lelaki yang memegang sebatang besi keluar dari teksi itu dan berjalan menuju ke arah kereta Mak Lijah dengan aksi seolah-olah hendak memukul kereta Mak Lijah. Apa lagi... Mak Lijahpun menekan minyak dan memintas teksi itu dengan ketakutan.

Lagi-lagi orang dari bangsa itu. Bukanlah Mak Lijah prejudis, tapi lagi-lagi merekalah yang mengganggu hidup Mak Lijah.

Filem Kita Wajah Kita

Suami Mak Lijah terperanjat sakan mengetahui Mak Lijah menonton filem Melayu.

Mak Lijah sendiri heran dengan perubahan itu.

Mak Lijah amat jarang sekali menonton filem Melayu. Menontonpun kerna terpaksa. Semasa mengambil kursus Penerbitan Filem di USM dulu, Mak Lijah dipaksa menonton dan mengkritik Hati Bukan Kristal. Filem itu dikatakan berbeza dari filem-filem Melayu yang sezaman dengannya.

Mak Lijah terpanggil untuk menonton Pontianak Harum Sundal Malam selepas adik Mak Lijah mengklasifikasikan filem itu sebagai 'a good attempt'. Bagi seorang yang anti filem Melayu, komen tersebut amat berpengaruh. Terpanggil jua kerna banyaknya kritikan-kritikan dari pengamal media.

Pun begitu, Mak Lijah hanya memberi 3.5 bintang saja. Itupun kerna attemptnya. Kisahnya sangat menarik tetapi plotnya gagal diangkat untuk mengukuhkan penceritaan. Ada beberapa plot yang tak logik, tapi tak apalah kerna plot itu tidak begitu penting dan tidak memberi kesan kepada plot-plot yang berikutnya. Pendukung karektor, kecuali Rosyam Nor, Ida Nerina dan Nanu, gagal menjiwai watak. Lokasi penggambaran juga terlalu sempit, nampak sangat cuba melindungi kelemahan tidak dapat mencipta lokasi yang lebih real. Solekan juga tidak bersesuaian dengan zamannya. Terlalu tebal dan tak nampak natural.

Namun, Mak Lijah harus puji jua kerna filem itu menyimpang dari genre filem-filem Melayu yang lain. Teknik selitan flashbacknya cukup menarik sehingga berjaya membuatkan Mak Lijah sentiasa tertanya-tanya what really happened?

Komen terakhir Mak Lijah mengenai filem ini ialah bahawa ia tidak cukup menyeramkan. Tapi, Mak Lijah nak juga rekemenkan filem ini untuk ditonton kerna ceritanya menarik.

....dan Mak Lijah tak sabar menunggu Puteri Gunung Ledang semata kerna hero pujaan Mak Lijah berlakon dalam filem itu...jangan marer...


Friday, July 16, 2004

Apa Kesudahannya?

Miyarsih telahpun berlepas pulang semalam, menurut kata majikan perempuannya. Moga-moga dia selamat tiba di Surabaya. Berita ini belum lagi disampaikan kepada adikya, Putihah, kerna dia telahpun tidur sewaktu majikan Miyarsih menelefon tadi. Maka berakhirlah episod duka Miyarsih yang bertimpa-timpa.

Dan Mak Lijah... terus serik...

Thursday, July 15, 2004

Kakak

Hari ini Mak Lijah blew the top dengan kakak. Dah lama berkarat dalam hati, akhirnya hari ini terlepas jua.

Sejak akhir-akhir ini kakak kerap menangis dan kuat memaksa berkehendakkan sesuatu. Ini berlaku setiap kali pulang dari IDFR lewat 4-5 petang, dalam keadaan keletihan. Sekecil-kecil barang yang dikehendaki itu harus berada di tangannya pada waktu yang diminta itu juga.

Bila tak keletihan atau mudah diperolehi, dapatlah Mak Lijah belikan apa yang dikehendaki. Tapi sejak akhir-akhir ini, permintaannya makin menjadi-jadi, harus disusuli dengan pemberontakan, dan sejak akhir-akhir ini juga dia makin bersifat malas menyiapkan kerja sekolah. Dia juga mahu kami ikut cara dia dalam apa jua keadaan. Menjerkah adik dan abangnya sudah menjadi tabiat walaupun puas dididik cara yang betul dan beradab untuk berbicara dengan adik-beradik, kami as parent mahupun Kak Putihahnya.

Setiap hari asyik bergaduh dengan adiknya kerana berebutkan sesuatu atau keengganan dia berkongsi barangnya dengan adik mahupun abang. Jarang sekali mahu kompromi. Kalau ada ketika yang dia memberikan sesuatu dengan rela, Mak Lijah rasa macam nak sujud syukur.

Dia juga lupa akan konsep "kakak" yang sepatutnya memahami bahawa adiknya lebih muda dari dia dan memerlukan lebih perhatian. Dulu tidak begitu. Dulu dia rajin melayan karenah adiknya dan bangga membawa gelaran "kakak".

Musykilnya ini berlaku baru-baru ini saja. Dulu dia tidak begitu. Ceria, rajin, jarang menangis dan tak begitu kedekut.

Dan kemuncaknya ialah apabila dia menerima "buah tangan" dari Daddynya hari ini apabila Mak Lijah dah blew the top, mungkin jua dicampur dengan tension kerna kisah Miyarsih yang belum selesai.

What did I do? Where did I go wrong?

I must have been a bad parent.




Tuesday, July 13, 2004

Gangguan II

Tengahari tadi Putihah telefon. Dalam esakan bertanya agaknya bilakah Kak Miyarsih dia dapat pulang. Pulang ke mana tak tahulah. Pulang ke TTDI ke, atau ke Jember. Maka Mak Lijahpun terangkan bahawa menurut majikan lelakinya, imigresen mahu melihat resit sebagai bukti bayaran telah dibuat. Tak taulah bayaran apa. Dan resit itu disimpan oleh majikan perempuannya yang kini berada di Jepun, akan pulang Jumaat ini. Maknanya, hanya majikan perempuannya sahaja yang boleh menyelesaikan masalah ini. Kalau boleh selesai. Sabtu ini cuti minggu ke tiga pulak. Alamatnya tiga minggulah Miyarsih bermalam di pusat tahanan.

Kalau tak kerna Danisy, Kakak dan Abang, rasanya tak nak balik rumah dan berhadapan dengan Putihah yang monyok memanjang. Tapi apa nak buat....

Gangguan

Hari ini, masuk hari ke tujuh Miyarsih bermalam di lokap/detention camp. Dan hari ini jua masuk hari ke tujuh Mak Lijah berada dalam ketensionan. Pantang telefon ke rumah, kalau disambut dek Putihah, itulah soalan pertama yang diaju. Itu baru telefon. Kalau kat rumah....

Entah kenapa Mak Lijah rasa terganggu dengan semua ini. Terganggu kerna, prestasi kerja Putihah sudah merosot. Bukan salah dia.

Semua ini adalah domino effect, bagi Mak Lijah. Bila masalah ini berlaku, maka terganggulah fikiran Putihah. Bila fikiran Putihah terganggu, dia mengganggu fikiran Mak Lijah. Bila fikiran Mak Lijah terganggu, terfikirlah Mak Lijah, kenapalah majikan Miyarsih tidak mengambil langkah awal untuk mencegah semua ini dari berlaku? Kenapalah susah sangat untuk mereka bertindak apabila ini sudah berlaku. Bukanlah niat nak bz body, tapi Mak Lijah tak mahulah gangguan-gangguan ini. Susah nak study! Susah nak buat assingment! Susah nak telefon rumah! Susah...susah...!

Thursday, July 08, 2004

Serik Al Kisah Pembantu Rumah

Mak Lijah betul-betul serik untuk menguruskan perihal pembantu rumah (lebih mudah menyebut maid) dari Indonesia. Banyak betul perihal mereka ini berlaku yang bersangkut-paut dengan Mak Lijah.

Molanya maid yang ditolong bawa masuk ke Mesia lari dari majikannya. Punyalah tak sedar diri. Gatal pulak tu. Entah Bangla mana yang menggoda, terus ikut saja. Tak sempat seminggu, dah jadi illegal. Padan muka. Rugi saja beribu-ribu ringgit yang dilaburkan untuk membawa dia masuk.

Bila dah dilapor ke polis dan imigresen, majikan kena bayar lagi. Tak ke menyusahkan namanya? Tak cukup dengan itu, si Putihah dapat panggilan dari pompuan Indon mana entah mengugut untuk bunuh dia kerna katanya, "...kalau tidak dijumpa adik aku, nahas ko! Aku bunuh ko!" Bengong betul! Dia yang lari kita pulak yang disalahkan! Dan sipemanggil juga memaki-hamun abang Putihah (yang membantu membawa maid itu ke Malaysia)dengan mengatakan dia penipu dan sengaja menyembunyikan maid itu. Giler betul diorang ni.

Penggantinya dah ada tapi ongkos membawanya ke Mesia enggan ditanggung oleh keluarga sibengong itu. Putihah juga dimaki-hamun dengan kata-kata yang sungguh kesat kerna menyuruh mereka menanggung kos itu. Aku pun jadi kebingungan atas semua ini.

Itu baru cerita yang pertama yang berlaku seminggu yang lalu. Dua hari lepas, kakak Putihah yang bekerja di Taman Tun telah menerima berita buruk yang suaminya telah meninggal dunia. Oleh kerna majikan perempuannya berada di Taiwan dan majikan lelakinya berada di PCC atas urusan rasmi yang tidak membenarkan dia pulang, maka Mak Lijah atas dasar kemanusiaan dan kerna dia ada kaitan dengan Putihah, maka Mak Lijahpun tolonglah menghantarnya ke KLIA.

Esoknya, sedang berkuliah, Putihah menelefon dan memberitahu yang kakaknya tidak sampai di Surabaya mahupun di rumahnya di Jember. Mak Lijahpun menyiasat (atas dasar kemanusiaan juga). Dipendekkan cerita, rupa-rupanya permit kerjanya telah tamat. Aduh! Mana bisa majikannya tidak bertanggung-jawab langsung! Dia masih berada di KLIA dan telah bermalam di situ kerna ditahan oleh Imigresen. Dia telah dianggap illegal dan bakal dimasukkan ke dalam lokap.

Maka Mak Lijah berusahalah dengan penuh kesukaran untuk menghubungi majikan lelakinya. Mujurlah atas bantuan dua orang kawan Mak Lijah, akhirnya dapat jua dihubungi walaupun nombor yang diberikan adalah tidak betul.

Dalam pada itu, si Putihah asyik menanyakan Mak Lijah perihal kakaknya. Mana bisa aku membantu lagi kerna itu adalah tanggungjawab majikannya. Sehingga ke saat ini Mak Lijah tak tahu apa dah jadi kepada kakak Putihah. Moga-moga dia selamat.

Aduuuuuhhhhh....... tensionnya....!!!!

Sunday, June 13, 2004

Asam Pedas Tempoyak Ikan Patin

1 ekor ikan patin
6-7 biji cili padi
1 biji cili merah
2 tangkai daun kesum
1 keping asam gelugur
1 senduk kecil tempoyak
4 gelas air
gula, garam, serbuk perasa, ikut rasa

Cara-cara:
Blend cili dan masukkan ke dalam periuk bersama air, asam gelugur, daun kesum dan kacaukan tempoyak, disusuli dengan ikan dan semua perasa. Jerang hingga mendidih dan tunggu ikan masak ikut kesesuaian.

Itulah resepi yang biasa Mak Lijah guna untuk memasak menu kegemaran setiap kali pulang dari Pahang apabila mendapat bekalan ikan patin yang segar.

Pun begitu, rasanya masih tidak sama dengan yang Mak Lijah makan di restoran S.Z. Rahimah di Temerloh. Rasa masakan ikannya sungguh lazat, kuahnya boleh dihirup selepas ikan tinggal tulang saja. Memang patutlah, harga seketul ikan itu bermula dari RM18 dan saiznya adalah sebesar tapak tangan Affan. Sebabnya, ikan patin yang dihidangkan itu, adalah ikan patin yang dipancing di Sungai Pahang, yang ori, bukan yang dibela dalam sangkar.

Jadi, mana nak tahu betul ke yang tu ori ke tak ori? Bagi Mak Lijah yang baru mula menjamah ikan itu 11 tahun nan lalu, hanya kebelakangan ini Mak Lijah dapat mengenal ikan patin sungai ori dan ikan patin bela. Yang ori, isinya agak pejal sebab sifatnya yang merayau di dalam sungai. Maka ototnya agak keras kerna berenang jauh mencari makanan, namun isinya manis. Warnanya agak cerah, kelabu, berbanding patin bela yang hitam di belakangnya. Patin ori kurang lemak. Isi ikan patin bela amat lembut sesuai dengan sifatnya yang dimanjakan dalam sangkar.

Ikan Patin juga ada banyak jenisnya, ada patin muncung, patin buah dsb. Masing-masing ada keistimewaannya. Kalau ketemunya di Pekan Sehari setiap Ahad di Maran, maka ia adalah yang ori dan harga sekilo minimum RM30.

Apa-apapun Mak Lijah akan berusaha jua untuk singgah di Restoran S.Z. Rahimah itu setiap kali pulang ke Pahang demi menikmati juadah patin ori dan masak lemak udang galah. Ada juga beberapa kali Mak Lijah kempunan nak makan di situ. Oleh kerna kemasyuran restoran itu, lauk-pauknya habis seawal jam 1.30 petang.

Oleh itu, kepada kengkawan yang curious mengenai ikan itu dan bercita-cita untuk menikmati juadah ikan patin sungai masak tempoyak yang ori lagi lazat, singgahlah di restoran itu kerna Mak Lijah highly recommend.

Restorannya kecil dan simple saja, tidak glamour langsung. Kalau dari KL, letaknya selepas jambatan Temerloh. Sebaik-baik melintasi Hospital Temerloh (di sebalah kanan) yang hampir siap, cari stesen minyak BP di sebelah kiri kerna Restoran S.Z. Rahimah terletak betul-betul di sebelahnya.

Bersiap-sedialah dengan ongkos yang bersesuaian dengan selera anda dan pastikan anda tiba sebelum jam 1.00 petang, kalau tidak, kempunan....!

Thursday, June 10, 2004

Bila Kakak Pula Sakit

Kakak semalam disahkan demam campak selepas tompok-tompok merah mula keluar di mukanya. Patutlah demamnya tak mahu kebah-kebah walaupun Panadol dah habis dua botol. Patutlah sakit tekaknya tak lega-lega juga. Patutlah dia sentiasa mengantuk hinggakan nak rasuahkan dengan mengajak ke kedaipun tidak dilayan.

Jadi apa perlu dibuat? Dulu, Mak Tok yang siapkan semua, cari daun, air penawar, buat bedak sejuk dsb. Sekarang aku yang kena buat semua ni.

Cari pokok semambu, tak susah. Nak mengait daunnya yang susah sebab daun-daunnya tumbuh agak tinggi. Dahan yang berdaun hanya tumbuh pada paras 7 kaki ke atas. Itupun daun yang muda. Daun muda cepat layu, kenalah ambil yang tua. Yang tua, lagilah tinggi tumbuhnya. Mana bisa aku mengait sedangkan tinggi aku ngam-ngam 5 kaki. Mujurlah tuan punya pokok itu tolong kaitkan untuk aku. Agaknya dah berapa ratus orang meminta daun itu kerana dia mempunyai galah berpenyangkuk yang cukup panjang untuk mengait seberapa banyak daun yang dikehendaki.

Kata Mak Timah, daun-daun itu hendaklah diramas dalam air mandian bersama pokok kangkung kampung. Tapi kalau tak ada kangkung tu pun tak apa. Tujuan dibuat air mandian itu adalah bagi mengurangkan miang ruam-ruam campak itu. Minum air kelapa sebab air kelapa akan mengsurfacekan semua ruam-ruam yang degil.

Kata Mak Timah, makan sup ayam kampung. Waduh... mana nak cari ayam kampung? Kat Pasar Malam Sungai Buluh ada, lah. Tapi itu hari Sabtu saja. Belasah ajer ayam bandar.

Kata Mak Timah, makan telur rebus ayam kampung. Itu tak susah cari, tapi... waduh.. harganya 40 sen sebiji?

...dan kakakpun dapat tidur dengan lena selepas dimandikan dengan daun semambu dan meminum air penawar. Tunggulah pulak apa nak jadi pada Danisy.. Minta disimpang dulu.

Tuesday, June 08, 2004

Antara Idealism dan Realism

Hari ini mulanya kursus Theory and Concepts of International Relations. Professor Rama dari UKM yang memberi kuliah.

Termangu-mangu mendengar lecture dia, walaupun baru hanya INTRODUCTION. Rasa macam mendengar orang berbicara dalam bahasa Sanskrit.

Baru nak tangkap makna Idealism dan Realism.

Pun begitu, Mak Lijah cuba mendekatkan diri kepada maknanya dengan cara yang tersendiri supaya lebih memahami. Hidup ini tak dapat lari dari kedua-duanya.

Idealnya jika bertemu pasangan yang bersesuaian dan bahagia hingga ke akhir hayat.
(Selamat ulangtahun perkahwinan kepada kawan Mak Lijah - POKCIK)

Idealnya jika dapat memenuhi hobi yang ditinggalkan sekian lama atau terpendam begitu saja.

Idealnya jika boleh makan sebanyak yang mungkin dan tak perlu berisiko mendapat obesiti atau dihinggapi penyakit.

Idealnya jika dapat bekerja di tempat yang bersesuaian dengan jiwa atau minat.

Idealnya jika kerja dari pukul 8.15 pagi hingga 4.45 petang setiap hari, ataupun terbabas ke pukul 6.00 petang sekali-sekala.

Idealnya jika setiap hujung minggu dapat meluangkan masa bersama dengan keluarga.

Idealnya jika anak-anak belajar setiap malam dan dapat markah yang baik dalam peperiksaan.

Idealnya...idealnya.

Jadi? Mana Realismenya? Aaah... malaslah nak bicara sebab baru terhantuk dengan 1% realiti semasa Putihah sakit. Macam dicabar dalam Fear Factor pulak.

Saturday, June 05, 2004

Bila Putihah Sakit

Think postive. Itu perkara pertama yang difikirkan. Bukannya tak pernah buat. Cuma ditinggalkan seketika dulu. Alah bisa tegal biasa. Tapi bila tak tahu nak tekan button mana kat washing machine, barulah tersedar, lamanya tak really get into doing housework.

Mulanya dengan menyediakan sarapan. Aaahh... roti canai kat kedai sana sajalah buat pagi ni. Lagipun kempunan tak dapat makan roti canai Tanglin dengan Atoque dan Lini semalam. Ok, settle bab sarapan. Maka bersemukalah dengan mesin itu. Nombor mana nak dipusing? Aaaah.. belasah saja nombor 4, kalau tak jalan, pergi nombor 5. OK. Nak letak sabun basuh kat ruang mana, no problem, tapi nak masukkan softener tu, kat sebelah kiri ke kanan? Belasah saja lagi. OK.

Oh... bersepahnya rumah... Biasanya, sebaik-baik saja bangun pagi dan turun ke bawah, semuanya dah rapi, tapi tidak pagi ini. Cari penyapu lidi dulu. Put everything away, away.. Tapi away tu kat mana?

DONE.

Back to the machine. OK. Dah settlepun membasuh. Keluarkan baju dan sidai. Sedang membuat itu, saja pi check kat machine tu, tarik "laci" tempat sabun basuh diletakkan. Waduh! Tak terusikpun? Masih sebanyak tadi. Maka masuk baliklah kain-kain lembap tu untuk dibasuh semula. Aaa... mana bisa ini terjadi? Takkan nak tunjuk aku tak reti? Aku kan majikan? Mesti lebih terer daripada pembantu. Bab masak untuk lunch, tak der masalah. Lagipun Fendi tak ada. Dah berangkat ke Trengganu untuk enam hari.

Dan begitulah seterusnya hingga saat ini, jam 1731, teragak-agak membuat sesuatu. Pun begitu, terurus jua. Bukannya susah sangat.

Anak-anakku tidak terlalu memberi masalah. Abang sibuk dengar CD lagu Khayalan dsb. Kakak dengan aktiviti kreatifnya dan Danisy sedang nyenyak tidor selepas menonton Barney buat entah kali ke berapa puluh. Dan aku berpeluang untuk membuat satu post hari ini.

Pun begitu, esok adalah sehari lagi. Semoga Putihah sepat sembuh. Not that I can't handle housework....

Wednesday, May 26, 2004

Perjalanan ini

Mak Lijah mula menukar routine hidup mulai 5 Mei 2004 apabila mendaftar di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDHL)atau Institute of Diplomacy and Foreign Relations (IDFR) sebagai pelajar sepenuh masa bagi peringkat Sarjana dalam Strategi dan Diplomasi. Setelah meninggalkan dunia akademik lebih 10 tahun yang lalu, routine ini ibarat memakai kasut baru.

Pun begitu, tidaklah seperti 10 tahun dulu. Suasana amat berbeza. Pergi kuliah mengenakan baju pejabat dan kuliah adalah setiap hari dari 9 pagi hingga 12 tengahari dan sekali-sekala terbabas hingga 1 petang, Isnin hingga Khamis. Tidaklah seperti seorang pelajar universiti yang sebenar-benarnya.

Pun begitu, Mak Lijah bersyukur kerana tiga tahun terkahir dalam perkhidmatan sebelum memulakan pengajian ini merupakan waktu-waktu yang benar-benar mencabar kesabaran bukan sahaja Mak Lijah, tetapi suami dan anak-anak. Syukur kerana tiada apa-apa yang buruk berlaku sewaktu itu. Maka pengajian ini adalah suatu break dari kemelut suatu kekusutan dan atau bagi Mak Lijah, suatu operasi menyelamat.

Maka perjalanan di laluan ini baru bermula. Semoga Mak Lijah dapat melaluinya dengan tabah.