Wednesday, March 31, 2004

Kenduri Kawin Zaman Ini - Akhir

Kek perkahwinannya setinggi tujuh tingkat. Masa dulu-dulu mana ada potong kek kawin? Kek pun tak der. Kalau adapun untuk hantaran purpose saja.

Kalau dulu, masa tengah makan setelah lauk dihidang, akan datanglah gadis-gadis genit membawa bakul yang berisi bunga telur untuk diedarkan kepada tetamu. Masa tu, memang betul yang dihadiahkan adalah bunga yang digubah dan, bertelur. Apa yang Mak Lijah dapat pada majlis tu? Tak adapun gadis-gadis genit pergi keliling meja menghadiahkan bunga telur. Kami dihadiahkan bekas comel (berwarna beige, pastinya) berisi sabun berbentuk hati dan kotak kecil berisi kek, yang mana telah siap diletakkan di atas meja siang tadi.

Dan apa yang tetamu VIP dapat selain dari dua benda itu? Miniature labu sayong berwarna keemasan yang diletakkan di dalam bekas kaca. Nampak begitu eksklusif sekali.

Kalau dulu-dulu, bila pergi kenduri kawin, biasanya kita diberi jangkawaktu, umpamanya dari pukul 12.00 tgh hingga 5 petang. Kita boleh pergi di antara waktu itu. Tetapi sekarang, mesti berada dan duduk di kerusi dalam dewan, sebelum pukul 8.00 malam kerana VIP akan masuk pukul 8.15 malam. Lebih senang begitu, sebab paling lama kena melayan tetamu adalah 3 jam saja lepas tu "wrap-up session".

Kalau dulu-dulu, bila pergi kenduri kawin, kita akan dibawa hidangan nasi dan lauk ke meja. Kalau kenal rapat dengan keluarga pengantin, siap boleh mintak tambah lauk lagi. Kat kampung Mak Lijah, lauk yang dianggap eksklusif ialah gulai nangka dan gulai ikan kering. Tapi sekarang, kena beratur untuk mengambil lauk dan nasi, buffetlah namanya. Alaaa... macam kenduri kat rumah Mak Lijah hari tu... Tapi malam tu, kami dihidang, tak payah beratur. Nama lauk yang menarik, dan kombinasi yang unik. Ada lauk Cina, India, Western dan tentulah Melayu.

Budaya ini bukanlah baru dalam kenduri kawin zaman ini. Budaya ini telah mula serap sejak kira-kira 10-15 tahun yang lalu dan khususnya jika kenduri dilangsungkan di tempat yang lain dari kediaman pengantin.

Begitulah antara al-kisah Kenduri Kawin Zaman Ini. Bagaimana dengan kisah kenduri kawin anda? Tak nak kongsi?

Tuesday, March 30, 2004

Kenduri Kawin Zaman Ini - Bhg II

Kesian ibu bapa pengantin lelaki. Macam robot. Ada remote controller. Agaknya mereka berlatih lebih seminggu untuk "berlakon" di atas pelamin. Bagaimanapun, syabas jua kepada mereka kerana berjaya melaksanakan tugas merenjis dengan baik. Cuma ada kalanya ibu/bapa pengantin macam teragak-agak samada mereka dibenarkan mencium kedua-dua pengantin atau salah seorang sahaja.

Majlis merenjis diserikan dengan pantun, dan Mak Lijah nak clarify di sini bahwa Mak Lijah tidaklah menjadi MC sepanjang majlis seperti yang dihebohkan oleh Kerabu Sotong tu. Tapi Mak Lijah confess memang suara Mak Lijah ke udara semasa merenjis itu.

As spring applauds the singing dove
Alone comes sparrow down in the cove
Happy in marriage, honor and love
Blessed in unity by God above

With dates of gold we sail away
Missing at heart words can't say
Love wasn't put in the heart to stay
For love isn't love til you give it away


Monday, March 29, 2004

Kenduri Kawin Zaman Ini - Bhg I

Mak Lijah berkesempatan menghadiri sebuah majlis perkahwinan hujung minggu lalu. Perkahwinan antara benua. Perkahwinan anak orang ternama.

Itu adalah kali pertama Mak Lijah menghadiri majlis perkahwinan antara benua walaupun seringkali membaca mengenainya dalam majalah Wanita mahupun Jelita. Sungguh menakjubkan. Sungguh interesting. Warna tema majlis itu adalh beige dan emas.

Majlis perkahwinan pada malam itu penuh dengan surprises bagi Mak Lijah yang agak kekampungan ini. Satu demi satu Mak Lijah ditakjubkan. Majlis bermula dengan perarakan masuk VIP. Itu tidaklah begitu menakjubkan. Yang menakjubkan ialah ibubapa pengantin yang sedondon memakai baju Melayu dan berkebaya biru (ibu bapa pengantin lelaki sudah berpisah dan bapanya mempunyai isteri baru). Pengapit pengantin lelaki adalah saudara kembarnya, memakai baju Melayu berwarna beige. Malahan keseluruhan rombongan pengantin lelaki, dari adik perempuan hinggalah kepada bapa saudaranya berpakaian Melayu.

Mak Lijah juga takjub dengan bunga manggar yang mengiringi mempelai. Ia tidaklah berbentuk berjurai-jurai dan berwarna-warni seperti yang biasa kita lihat di mana-mana kenduri, tetapi setiap batang manggar tu, adalah helaian daun-daun berwarna keemasan yang disusun jarang-jarang.

Pengantin yang berbaju keemasan amat secocok sekali. Wajah dan gaya kedua-duanya ibarat model yang terbit dari majalah, hasil tangan Radzuan Radzwil yang menawan sekali. Secara realitinya tak tahulah samada mereka secantik itu atau tidak.

Paluan kompang mengiringi pengantin hingga ke tengah dewan disusuli dengan lagu-lagu pengantin. Hati Mak Lijah tersentuh jua apabila pengantin disambut dengan salawat dan salam oleh Uztaz Nik.

Dan majlis merenjispun bermula....

Friday, March 26, 2004

Rumah Wan

Struktur rumah kayu Wan agak unik bagi sesetengah orang yang sezaman dengan beliau pada ketika itu. Mungkin kerana sifat beliau yang inovatif maka seringkali beliau muncul dengan idea-idea menarik.

Mak Lijah masih ingat, untuk memasuki rumah Wan, kita perlu menjejaki beberapa anak tangga terlebih dahulu untuk naik ke suatu ruang kecil selepas itu. Ruang kecil yang berbumbung itu, agaknya untuk menyimpan kasut, payung, dsb. Kemudian kita kena naik lagi beberapa anak tangga untuk sampai ke suatu lagi ruang yang lebih besar. Ruang itu bolehlah dinamakan sebagai holding lounge untuk zaman ini. Ruang itu berkonsep terbuka kerana sebahagiannya bertingkap dan sebahagian lagi hanya separuh dindingnya. Ada beberapa kerusi duduk dan sebuah kerusi malas tempat Mak Lijah melepak. Untuk naik ke atas kerusi malas itu, Mak Lijah perlu memanggil emak atau ayah, atau abang Mak Lijah untuk mengangkat Mak Lijah kerana ianya agak tinggi.

Mak Lijah rasa, inilah tempat Wan menerima tetamu supaya tidak mengganggu ruang dalam rumah. Mungkin beliau mahukan privacy.

Untuk masuk ke dalam rumah, ada sebuah pintu yang sangat tebal, mungkin setengah kaki tebalnya. Untuk membuka pintu ini, Mak Lijah perlu memanggil emak, atau ayah, atau abang atau Tok Munai untuk menolak/menariknya kerana Mak Lijah tak tercapai penyelaknya dan kerana isipadu pintu yang berat.

Di dalam rumah Wan ada empat bilik tidur dan suatu ruang yang luas tempat melepak dan menonton tv. Mak Lijah masih ingat lagi, setiap malam rumah itu akan penuh dengan kaum kerabat Wan yang hendak menonton tv. Pada ketika itu, hanya Wan yang memiliki peti tv di kawasan itu.

Untuk pergi ke dapur, kita perlu turun beberapa anak tangga. Ruang dapur rumah Wan sungguh luas dan bersambung dengan bilik Wan di depannya, tempat Wan melepak sambil menghisap rokok daun. Untuk ke luar rumah dari pintu dapur, kita perlu melalui bilik air. Pada zaman itu, mempunyai bilik air yang bersambung dengan rumah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Jadi untuk menjaga hati orang kampung, Wan pun membina sebuah lagi bilik air di luar rumah, dekat dengan pokok jambu batu.

Bagitulah bentuk rumah Wan. Bagi Mak Lijah yang masih kecil ketika itu, rumah Wan adalah ibarat mahligai dan Mak Lijah senantiasa ternanti-nanti untuk pulang ke situ.

Thursday, March 25, 2004

Sebuah tempat bernama Tambun Tulang

Semasa kecil dulu, Mak Lijah seringkali dibawa oleh Wan (grandfather) menaiki mobilnya, sebuah Morris biru, ke suatu tempat yang bendangnya sayup mata memandang. Sungai mengalir dengan tenang, pokok kelapa di pinggir jalan, jalan masih lagi tanah merah dan tidak banyak kereta lagi pada masa itu (Wan antara sebilangan kecil orang yang memiliki kereta di Perlis ketika itu, selain dari kerabat diRaja dan kakitangan kerajaan).

Kami cucu-cucunya dibawa bersama untuk meninjau bendangnya yang diusahakan oleh anak-anak saudaranya dan waris-waris lain. Antara yang menjadi penduduk di situ adalah arwah Tok kepada Bang Mat. Tok kepada Bang Mat dan Tok Munai (isteri Wan), dua-beradik. Bang Mat yang dimaksudkan adalah Ahmad Tajudin, Tenaga Nasional.

Mak Lijah masih ingat lagi melihat bagaimana umpan menyauk udang dibuat. Rupa teksturnya adalah seperti nestum yang pekat. Apabila sauk diangkat, akan kelihatanlah udang-udang sungai berlompat-lompatan di dalamnya. Mak Lijahpun terlompat-lompat excited melihat udang-udang itu. Sekarang ni, udang-udang tu semua dah tak ada lagi. Yang ada mungkin, kalau disauk ialah kertas pembalut aiskrim, kotak rokok, botol plastik dsb.

Wan memiliki sebuah rumah di situ, buat tempat dia berehat bila berkunjung. Tiada elektrik dan paip air. Mandinya di sungai dan cahayanya dari pelita. Hitam hidung Mak Lijah terkena asap pelita itu.

Setiap kali ke situ, pasti ada habuan buah mempelam dari pokok-pokok yang Wan tanam di atas batas ban. Apa lagi kalau bukan mempelam Siam yang sungguh manis itu. Kalau kena musimnya, penuhlah pula dengan buah berduri itu.

Masa itu, tiada lagi bendera hijau-putih, pun biru-putih. Bendera apapun tak ada. Haron Din pun belum berdoktor lagi. Beliau bukan orang situ. Tapi beliau begitu dihormati di situ dan di tempat-tempat lain atas sifat peribadi dan pencapaian beliau. Mak Lijah amat menghormati dan mengagumi beliau. Sayang beliau tidak berpeluang mewakili suara penduduk di situ. Dan sayang juga bila bendera-bendera yang berkibar kemudian itu merenggangkan silaturrahim sesama kaum kerabat Wan.

Kini, tempat tu dah berubah. Tak banyakpun perubahannya. Pun begitu, Mak Lijah dah tak ingat di mana letaknya rumah hinggap arwah Wan. Kalau disuruh tunjuk sungai tempat Mak Lijah mandi dulu, entah kat manalah agaknya nak dituju. Namun, pemandangan bendang yang sayup mata memandang, masih kekal dalam ingatan dan dalam kenyataan... dan itulah keindahan asli sebuah tempat yang bernama Tambun Tulang.

Wednesday, March 24, 2004

Macam-macam pada 23 Mac 2004

Rusuhan di Kuala Trengganu dan Marang kerana ketidak-puasan hati pengundi mengenai keputusan pilihanraya - antara kandungan SMS yang paling sibuk diforwardkan.

Tapi SMS tu, tak pulak diforwardkan ke Mak Lijah. Kenapa?

Chek nak pi Jepun pulak?

Takkan sorangpun tak amik gambar kat mejelis semalam? Frustnya Mak Lijah...

Kecoh betul 2 row terakhir kat Dewan A, PCC.

Mana pergi pulak handbag Mak Lijah ni.... Masya Allah...

Atoque buat revision SPSS semasa penceramah sedang berkempen di depan.

Amboi.... si dot..dot..dot... tu semakin sihat kelihatannya.

Perbezaan setahun kursus DPA adalah bersamaan dengan 4 hari sahaja disahkan jawatan.

Pegawai Kerajaan = Pegawai untuk Kerajaan, ...baru sedar semalam.

Mana kuah bihun sup ni? Laaa... dah sejuk pulak...

Nak pindah rumah within Putrajaya sebab rumah sekarang ni, jauh. JAUH?

Cantiknya batik yang diimport oleh Pah dari Kelantan....

Mak Lijah dapat topi Mexico.

Friday, March 19, 2004

Excuse me....

Semasa Mak Lijah pergi ke IDFR baru-baru ini, Mak Lijah bertemu dengan seorang kenalan yang pernah bekerja di tempat yang sama dengan Mak Lijah beberapa tahun lalu. Mak Lijah bertemu dia semasa Mak Lijah sedang memerah otak untuk menulis esei mengenai Globalisation seperti yang dikehendaki oleh IDFR (masa tu dah dekat 2 jam).

Kenalan Mak Lijah tersebut sama umur dengan Mak Lijah tetapi dilantik ke perkhidmatannya setahun selepas Mak Lijah dilantik. Sepanjang Mak Lijah mengenali dia, Mak Lijah dapati dia seorang yang sangat peramah walaupun mempunyai karakter yang sedikit pelik.

Dalam perbualan kami, sambil menerangkan kenapa Mak Lijah berada di situ, secara berseloroh Mak Lijah berkata, "Boleh tak you tolong tuliskan esei ni untuk I?" Tiba-tiba air muka dia berubah menjadi serius dan menjawab, "Excuse me, I'm not a PP anymore, you know?" (PP = Penolong Pengarah/Setiausaha).

Mak Lijahpun memohon maaf. Kawan Mak Lijah yang seangkatan dengan Mak Lijah yang duduk di sebelah dan mendengar sepanjang perbualan kami turut memohon maaf. Maka perbualan kami menjadi singkat selepas itu dan dia pun beredar.

Tinggallah Mak Lijah dan kawan Mak Lijah di situ sambil berfikir, "What just happened?"


Thursday, March 18, 2004

Mana udang, maka ketam, jikalau direbus tidak merah

Mak Lijah petik peribahasa ini dari "Koleksi Terindah Peribahasa Melayu" oleh Ainon Mohd. dan Abdullah Hassan (2003). Sekali imbas memang tak boleh nak tafsir maksudnya. Ianya tak seperti peribahasa lain yang jelas maksudnya, umpamanya "rusa ditembak, kijang yang kena".

Maksud, "Mana udang...." itu adalah : Memperdaya dengan menukar sifat, kelakuan dan rupa.

Dalam filem X-Men, ada satu watak tu memang sesuai dengan peribahasa ini. Tapi itu adalah dalam alam fantasi, untuk hiburan semata. Bagaimana pula di alam realiti? Ada tak elemen sebegini dalam kehidupan kita?

Masa tengah sibuk berkempen ni, ada tak udang dengan ketam ni?
Masa tengah sibuk buat penilaian prestasi, merah tak udang dengan ketam kalau direbus?
Masa tengah sibuk komen karya penulis, mana udang, maka ketam?

Jika sengaja hendak bercekak pinggang
Tinggallah rebana beralih ke gelanggang
Tidak tahu pipit tidak tahu enggang
Yang rapat kelak jadi renggang


Kapuk segaul dengan kapas, bezanya takkan lepas.

Sama-samalah kita fikirkan.

Saturday, March 13, 2004

Wanita

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran, perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala- galanya. Apalagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s. tetap merindukan siti hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, istri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tidak lurus, tidak mungkin mampu hendak meluruskan mereka.

Tak logis kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Luruskanlah wanita dengan cara petunjuk Allah, karena mereka diciptakan begitu rupa oleh mereka. Didiklah mereka dengan panduan dariNya: JANGAN COBA JINAKKAN MEREKA DENGAN HARTA, NANTI MEREKA SEMAKIN LIAR, JANGAN HIBURKAN MEREKA DENGAN KECANTIKAN, NANTI MEREKA SEMAKIN MENDERITA.

Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah, Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal, disitulah kuncinya. AKAL SETIPIS RAMBUTNYA, TEBALKAN DENGAN ILMU, HATI SERAPUH KACA, KUATKAN DENGAN IMAN, PERASAAN SELEMBUT SUTERA, HIASILAH DENGAN AKHLAK .

Suburkanlah karena dari situlah nanti merka akan nampak penilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan berbahagialah mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana mentri negara atau women gladiator. Bisikkan ke telinga mereka bahwa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan, karena rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki2 wajah: negarawan, karyawan, jutawan dan wan-wan lain. Tidak akan lahir superman tanpa superwoman. Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan.

Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan saja tidak bisa diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.

LEBIH BANYAK LELAKI YANG DIRUSAKKAN OLEH PEREMPUAN DARIPADA PEREMPUAN YANG DIRUSAKKAN OLEH LELAKI. SEBODOH-BODOH PEREMPUAN PUN BISA MENUNDUKKAN SEPANDAI-PANDAI LELAKI.

JANGAN MENGHARAP ISTRI SEPERTI SITI FATIMAH, KALAU PRIBADI BELUM LAGI SEPERTI SAYIDINA ALI

Dikutip dari milis Padang Mbulan dari sebuah e-mail yang dipostingkan oleh Enny Handayani (1/12/1999)

SELAMAT MENYAMBUT HARI WANITA ANTARABANGSA 2004 KEPADA SEMUA WANITA DPA95-96@YAHOOGROUPS.COM

Friday, March 12, 2004

Frust

Frust betul Mak Lijah. Penat ajer taip lepas tu hang. Bukan senang nak datang ilham, bukan senang nak ada masa senggang.

Banyak betul perkara frust.

Frust bila keadaan trafik setiap pagi tidak improve sejak Mak Lijah berhijrah ke ibukota ini.
Frust bila nilai tol sentiasa meningkat, tetapi jalan sesak juga.
Frust bila yang accidentnyer di seberang jalan, tapi sesaknya sampai ke Templer Park.

Frust bila anak mengadu cikgu tak masuk kelas dah 3 hari.
Frust bila balik dari kerja, anak dah tidur.
Frust bila sampai Pahang, soalan pertama yang keluar, "Putihah mana?"
Frust bila penat buat report, bukan saja tak dibaca, tapi terus suruh ubah teks.

Macam-macam jenis frust. Tapi life has to go on. Di sebalik kefrustan, kita harus bersyukur dengan kos melepas yang ada. Kena fikir apa ada disebalik semua ini.

Kalau tak nak jumpa jalan sesak langsung, pi balik kerja kat Kangaqlah. Keluar rumah pukuk 8.05 pun sempat beli pulut udang lagi. Kalau tak sempat jumpa anak sebelum dia tidur, telefonlah rumah dan bersembang-sembang dengan dia. Kalau frust kena ubah teks, suruhlah dia buat sendiri.

Thursday, March 11, 2004

Kaya

Kecoh betul pasal kaya. Disebut sekali saja, macam disambar api menjadi sesuatu yang happening. Semuanya sebab buat tafsiran sendiri, tanpa buat kajian. Mana probabilitinya? Mana hipotesisnya? Aduh.... pening Mak Lijah dibuatnya. Apa-apapun, semua itu adalah exaggeration semata.

Jangan salah tafsir. Kaya ada banyak jenis kaya, dan yang paling kerap disebut:
Kaya ilmu
Kaya budi bahasa
Kaya raya (sumbangan Affan)
Kaya roti (juga sumbangan Affan)
Seri kaya (lebih popular disebut seri muka)
Aku Kaya (filem Senario)

Yang suka sangat dibicarakan ialah kaya harta. Kaya hartapun ada banyak jenis. Harta apa yang dimaksudkan? Bukupun harta. Almari, meja, tv, patung barbie, semua tu pun harta. Kalau ada benda-benda tu, dan lain-lain lagi, cukuplah untuk dikira kaya. Kaya di mata kita. Kaya pada standard kita. Kaya pada tafsiran kita. Kaya secara relatifnya.

Sudahlah tu. Mak Lijah ni, hanyalah
Orang biasa
Basikal tua...

Tuesday, March 09, 2004

Antara KITA dan KAMI

Ramai yang keliru antara KITA dan KAMI. Kekeliruan ini sudah merebak sehingga telah diterima sebagai betul. Salah penggunaan akan membawa salah penafsiran.

Kalau seorang wanita berkata kepada teman lelakinya, "Kita kena beli gincu baru." Bahaya tu. Adakah teman lelakinya juga memakai gincu?

Tetapi kalau seorang budak lelaki berkata kepada ustazahnya, "Kami akan menang dalam perlawanan kali ini." Itu betul.

Penggunaan KITA lebih digunakan kerana ia bernada lembut, tidak bersifat ke'aku'an sedangkan KAMI bernada individualistik kerana hanya bercakap mengenai mereka saja.

Semasa Mak Lijah berkarya di USM dulu, Mak Lijah ditegur kerana penggunaan "Kita" semasa melaporkan suatu wawancara. Beliau menegur kerana katanya, yang diwawancara itu bukan wakil rasmi institusi pendidikan itu. Namun, Mak Lijah tetap dengan pendirian Mak Lijah kerana laporan tersebut dibuat secara verbatim di mana Mak Lijah menggunakan pembuka kata "..." semasa menulis. Begitulah kekeliruan.

Begitulah juga dalam setiap sidang media yang disiarkan. Mereka akan sering berkata, "Kita sedang menyiasat kes tersebut." Adakah ini bermaksud wartawan dan penonton juga turut terlibat dalam siasatan itu? Begitulah kekeliruan.

Sekian, kelas bahasa untuk hari ini.

AKU, KAU BERBEZA

Monday, March 08, 2004

Perubahan

Sampai suatu ketika itu, tiba masanya untuk kita berubah. Kita perlukan perubahan untuk memajukan diri. Kalau katak kekal duduk di bawah domainnya seperti dalam peribahasa tu, maka dia akan mati seperti peribahasa tentang dia juga.

Kalau kita menjual pulut udang sepuluh sen sebiji dari sejak 30 tahun lalu, bila kita nak maju? Semua kos dah meningkat. Kelapa, walaupun ditanam di belakang rumah, tak boleh dimesin sendiri sebab tak ada mesin. Terpaksa pergi ke kedai, minta dimesinkan kelapa tu. Kena bayar upah. Harga minyak dah naik sejak 20 tahun lepas. Ini tak termasuk beras pulut yang kini makin sukar untuk diseludup dari Padang Besar. Harga cili? Aaahh... semerah-merahnya cili, merah lagi duit yang nak dihulurkan untuk beli cili. Kalau tanam sendiri, asyik dibuat tandas awam dek kucing sebelah. Kalau harganya macam tu dari dulu, penjual pulut udang itu kini ibarat mengadakan jamuan petang di gerainya saja. Buatlah suatu perubahan untuk kemajuan.

Kalau kita buat sesuatu kerja yang sama dan berulang-ulang sejak sedekad yang lalu, tak bosan ke? Kenapa tak berubah? Perubahan akan memberi kita nafas baru dalam bertugas. Perubahan akan memberi kita peluang untuk memperbaiki diri, dari lemah kepada mahir dalam sesuatu bidang, atau kalau dah mahir, mempelbagaikan kemahiran. Perubahan tu bagus. Perubahan akan memberi kita warna kehidupan, seperti tajuk lagu ini.

Tapi ada yang berpendapat bahawa dia tak boleh diubah kerana tak yakin dengan bakal pengganti yang tidak dikenali. Ataupun kerana dia terlalu bagus, kekalkan dia di situ dan kita "kerjakan" dia habis-habisan. Habis tu, mana kesudahannya?

Tapi apa pula akan berlaku kalau "Kasih Berubah"? Bahaya tu.....

Sunday, March 07, 2004

Ikhlas tapi jauh

Apa sebenarnya maksud tu? Bila ada saja elemen "tapi" dalam sesuatu frasa, ia diandaikan mempunyai maksud di sebalik pernyataan itu. Kalau dikatakan "Dia kacak tetapi tidak cukup tinggi." Maka, "tidak cukup tinggi" dikatakan sesuatu yang negatif. Jadi, kalau dia "Ikhlas tapi jauh"... apa yang tersirat?

Bagaimana kita nak tahu kalau seseorang itu ikhlas? Kalau di musim bendera biru/merah-putih, hijau-putih, biru muda-putih dsb. ni, banyakkah keikhlasan yang ditaburkan?

Sekiranya seorang guru memuji anak muridnya kerana mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, kita tahu dia ikhlas memujinya.

Jika ibu mertua memuji menantu perempuannya cantik, putih gebu, rajin mengemas, pandai memasak dsb., adakah terdapat "tetapi" yang tidak didengari lalu menjurus kepada persoalan keikhlasan pujian itu?

Mestikah pujian dari suami perlu ditapis sehalus-halusnya? Perlukah isteri sentiasa berasa syak wasangka akan pujian dari suaminya atau sekali-sekala sahaja? Adakah sang suami mengaku bahawa selama ini mereka tidak ikhlas dalam pujian mereka?

Friday, March 05, 2004

Standard

Bangga juga Mak Lijah semalam bila suami memuji kelazatan lauk kegemarannya yang dimasak Mak Lijah. Bangga sebab selama ni katanya, hanya ibunya saja yang pandai masak lauk tu. Dulu Mak Lijah juga diuji oleh adiknya bila Mak Lijah memasak ayam masak merah. Katanya sedap SEPERTI yang dimasak oleh si polan tu.

Mestikah kita menentukan sesuatu standard itu bersandarkan kepada hasil orang lain? Mesti! Mesti sebab kita tak tahu sesuatu itu bagus sehingga kita melihat sesuatu yang buruk. Mesti ada unsur perbandingan.

Pun begitu kita perlu berhati-hati. Standard di mata barat hanyalah untuk meletakkan gelas kaca di antara kita dan mereka. Kita perlu memecahkan kaca itu. Kita perlu buktikan kaca yang pecah itu boleh menikam mereka kembali. Kita perlu buktikan bahawa standard kita juga setanding. Bagaimana kita nak buktikan standard itu kalau kita mengikut resmi katak dalam peribahasa? Dalam peribahasa itu, jika dikaji, katak hanya dapat melihat dalam jarak 7-8 cm radius (bergantung kepada saiz) di sekelilingnya saja. Sedangkan di luar sana adalah sebuah lapangan yang keluasannya adalah infiniti.

Kesimpulannya, Mak Lijah bukannya pandai sangat memasak. Mak Lijah masak ikut standard Mak Lijah saja. Sekadar cukup kenyang sudahlah....

Thursday, March 04, 2004

Apa ada pada nama

Di tempat Mak Lijah dilahirkan terdapat beberapa nama yang sungguh unik. Kata mak Mak Lijah, ada sesetengah tu berkaitan dengan apa yang berlaku kepada individu itu ataupun dikaitkan dengan saudara/isteri/suami/bapa individu itu. Nama-nama itu adalah yang selain dari nama yang dipendekkan seperti Choh, Ya, Cha, Din, Sop, Dali, Yam, Zah, dsb. Pun begitu ada juga nama yang tak berkaitan langsung, tak ada korelasi, umpamanya Pak Ma'e Korea (dia tak pernahpun ke sana), Lan Cha-cha (pastinya dia tak pandai bercha-cha mahupun masak bubur tu), Mi Poro (nama sebenar Azmi) dsb.

Kawan-kawan Mak Lijahpun ramai yang mempunyai nama gelaran. Kadangkala nama gelaran ini begitu kukuh sehingga Mak Lijah tak ingat langsung nama sebenarnya. Pernah sekali Mak Lijah terpaksa meminta maaf kepada operator di suatu kementerian yang dihubungi kerana Mak Lijah terlupa nama sebenarnya. Mak Lijah dengan tersipu-sipunya terpaksa meminta bantuan kawan lain (yang Mak Lijah pasti nama penuh dia) di sebuah agensi lain untuk mendapatkan nama penuh kawan tersebut. Kuatnya pengaruh nama ini.

Nama-nama gelaran bagi kawan-kawan Mak Lijah dihadiahkan sesama kawan-kawan juga. Ada yang kerana identiti dia sendiri ataupun faktor lain. Ada sesiapa nak buat kajian?

Nama tempat-tempat di Malaysiapun banyak juga yang unik kerana ada yang bersifat katakerja dan katanama yang mempunyai makna dan bukan semata-mata nama khas, contohnya, Lubuk Paku, Hutan Melintang, Tanah Merah, Lumut, Utan Aji, Air Hitam, Jawi (di utara, masuk jawi bermakna berkhatan), Selekoh, Mambang di Awan, Pengkalan Kubur, Padang Serai, Pasir Puteh, Masjid Tanah, Lubuk Antu dan sebagainya. Meriahnya nama-nama tersebut.

Tuesday, March 02, 2004

Hujan dan Kawan

Hari ni tak hujan. Panas terik. Tapi pagi semalam hujan. Trafikpun hujan juga. Mak Lijahpun teringat masa modul OBS, masa solo camping. Hujan turun dari malam sampai ke pagi. Ada camp pun tak guna.

Mak Lijah juga tak boleh lupa hujan di rumah panjang di Sarawak. Ketika hujan gerimis di malam buta Mak Lijah berjalan balik sorang-sorang ke tempat penginapan kerana dah terlalu letih dengan aktiviti malam tu. Sedang nyenyak Mak Lijah tidur, tiba-tiba terdengar suara kuat kawan Mak Lijah berkata-kata sesuatu kepada seorang lagi kawan di bilik sebelah. Mak Lijah hairan kenapa dia bercakap terlalu kuat. Esoknya barulah Mak Lijah tahu sebabnya. Rupa-rupanya dia terlalu kenyang minum semalam tu.

Di tengah lautpun Mak Lijah terkena hujan dan ribut. Kayuh kuat manapun tak bergerak perahu tu. Mak Lijah tak sudah-sudah bengang kerana dibuat main-main jer nyawa orang. Mujurlah Mak Lijah dikelilingi oleh kawan-kawan yang memberi semangat. Sememangnya kawan-kawanlah yang menjadi pendorong yang kuat. Kawan-kawanlah yang menjadi tempat merujuk dan merajuk. Kawan-kawanlah tempat nak berkongsi rahsia, meluahkan perasaan marah, sedih, gembira dan segala emosi yang ada. Kawan-kawanlah yang selalu kita minta tolong dan menolong.

Kalau terasa nak minum teh tarik atau makan mee maggi goreng, biasanya kita akan ajak kawan-kawan. Kita tak ajak spouse kita, atau mak kita, atau ayah kita, kenapa yek?

Kawan-kawan Mak Lijah bertaraf antarabangsa. Bukan sahaja kerana kualiti mereka tetapi kerana ada dari mereka berada di luar negara dan mereka sentiasa bersedia menanti, menyambut dan melayan kita yang asing di negara itu. Kawan-kawan Mak Lijah juga rajin menjamu kawan-kawan. Masa itu, agenda yang penting ialah berjumpa dan bergurau-senda sambil bertukar-tukar pendapat. Bukan sangat tentang menu, atau lokasi, cuma ia adalah bonus bagi perjumpaan itu.

Mak Lijah sungguh berbangga mempunyai kawan sedemikian dan Mak Lijah bersyukur dipertemukan dengan kawan-kawan seperti itu.

Bila lagi nak berjumpa ya?

Monday, March 01, 2004

Imej

Susah nak jaga imej. Lebih susah kalau individu tu dikenali ramai...dan tersangatlah susah kalau itulah yang difikirkan sepanjang masa. Apa itu imej? Bagi Mak Lijah, (dalam konteks imej diri, sebab imej juga merujuk kepada perkara lain) "imej" adalah penyesuaian status dengan penampilan dan tingkah-laku diri.

Ada banyak cara orang menjaga imej. Siti Nurhaliza terpaksa mengawal cara dia menguap dan sendawa kerana menjaga imej dia sebagai seorang personaliti yang dikenali. Bagaimana pula Normala Samsudin menjaga imej dia?''

Politikus pandai memainkan imej di mata penyokongnya. Tapi bila ke luar negara, masya-Allah... Mana pergi imej tadi? Pun begitu bukanlah semua politikus sedemikian, mungkin 89 peratus sahaja.

Bagaimana KSU-KSU atau KP-KP atau lain-lain jawatan setaraf menjaga imej? Mungkin dengan mengamalkan lebih banyak "tidak", iaitu tidak ke Cafe untuk minum pagi atau makan tengahari, tidak bercakap dengan M48 ke bawah, tidak memandu sendiri ke pejabat, tidak menarik sendiri kerusi untuk duduk, tidak bercakap banyak, dan pelbagai lagi tidak yang sesuai dengan jawatan beliau.

Ada juga yang menjaga imej dengan tidak menanya sesuatu soalan di khalayak. Takut soalan itu mengganggu imejnya. Jadi soalan itu akan ditanya kemudian apabila tidak ramai orang atau pada masa lain yang dirasakan sesuai. Itupun dikatakan jaga imej.....