Semasa kecil dulu, Mak Lijah seringkali dibawa oleh Wan (grandfather) menaiki mobilnya, sebuah Morris biru, ke suatu tempat yang bendangnya sayup mata memandang. Sungai mengalir dengan tenang, pokok kelapa di pinggir jalan, jalan masih lagi tanah merah dan tidak banyak kereta lagi pada masa itu (Wan antara sebilangan kecil orang yang memiliki kereta di Perlis ketika itu, selain dari kerabat diRaja dan kakitangan kerajaan).
Kami cucu-cucunya dibawa bersama untuk meninjau bendangnya yang diusahakan oleh anak-anak saudaranya dan waris-waris lain. Antara yang menjadi penduduk di situ adalah arwah Tok kepada Bang Mat. Tok kepada Bang Mat dan Tok Munai (isteri Wan), dua-beradik. Bang Mat yang dimaksudkan adalah Ahmad Tajudin, Tenaga Nasional.
Mak Lijah masih ingat lagi melihat bagaimana umpan menyauk udang dibuat. Rupa teksturnya adalah seperti nestum yang pekat. Apabila sauk diangkat, akan kelihatanlah udang-udang sungai berlompat-lompatan di dalamnya. Mak Lijahpun terlompat-lompat excited melihat udang-udang itu. Sekarang ni, udang-udang tu semua dah tak ada lagi. Yang ada mungkin, kalau disauk ialah kertas pembalut aiskrim, kotak rokok, botol plastik dsb.
Wan memiliki sebuah rumah di situ, buat tempat dia berehat bila berkunjung. Tiada elektrik dan paip air. Mandinya di sungai dan cahayanya dari pelita. Hitam hidung Mak Lijah terkena asap pelita itu.
Setiap kali ke situ, pasti ada habuan buah mempelam dari pokok-pokok yang Wan tanam di atas batas ban. Apa lagi kalau bukan mempelam Siam yang sungguh manis itu. Kalau kena musimnya, penuhlah pula dengan buah berduri itu.
Masa itu, tiada lagi bendera hijau-putih, pun biru-putih. Bendera apapun tak ada. Haron Din pun belum berdoktor lagi. Beliau bukan orang situ. Tapi beliau begitu dihormati di situ dan di tempat-tempat lain atas sifat peribadi dan pencapaian beliau. Mak Lijah amat menghormati dan mengagumi beliau. Sayang beliau tidak berpeluang mewakili suara penduduk di situ. Dan sayang juga bila bendera-bendera yang berkibar kemudian itu merenggangkan silaturrahim sesama kaum kerabat Wan.
Kini, tempat tu dah berubah. Tak banyakpun perubahannya. Pun begitu, Mak Lijah dah tak ingat di mana letaknya rumah hinggap arwah Wan. Kalau disuruh tunjuk sungai tempat Mak Lijah mandi dulu, entah kat manalah agaknya nak dituju. Namun, pemandangan bendang yang sayup mata memandang, masih kekal dalam ingatan dan dalam kenyataan... dan itulah keindahan asli sebuah tempat yang bernama Tambun Tulang.
Thursday, March 25, 2004
Sebuah tempat bernama Tambun Tulang
No comments:
Post a Comment