Struktur rumah kayu Wan agak unik bagi sesetengah orang yang sezaman dengan beliau pada ketika itu. Mungkin kerana sifat beliau yang inovatif maka seringkali beliau muncul dengan idea-idea menarik.
Mak Lijah masih ingat, untuk memasuki rumah Wan, kita perlu menjejaki beberapa anak tangga terlebih dahulu untuk naik ke suatu ruang kecil selepas itu. Ruang kecil yang berbumbung itu, agaknya untuk menyimpan kasut, payung, dsb. Kemudian kita kena naik lagi beberapa anak tangga untuk sampai ke suatu lagi ruang yang lebih besar. Ruang itu bolehlah dinamakan sebagai holding lounge untuk zaman ini. Ruang itu berkonsep terbuka kerana sebahagiannya bertingkap dan sebahagian lagi hanya separuh dindingnya. Ada beberapa kerusi duduk dan sebuah kerusi malas tempat Mak Lijah melepak. Untuk naik ke atas kerusi malas itu, Mak Lijah perlu memanggil emak atau ayah, atau abang Mak Lijah untuk mengangkat Mak Lijah kerana ianya agak tinggi.
Mak Lijah rasa, inilah tempat Wan menerima tetamu supaya tidak mengganggu ruang dalam rumah. Mungkin beliau mahukan privacy.
Untuk masuk ke dalam rumah, ada sebuah pintu yang sangat tebal, mungkin setengah kaki tebalnya. Untuk membuka pintu ini, Mak Lijah perlu memanggil emak, atau ayah, atau abang atau Tok Munai untuk menolak/menariknya kerana Mak Lijah tak tercapai penyelaknya dan kerana isipadu pintu yang berat.
Di dalam rumah Wan ada empat bilik tidur dan suatu ruang yang luas tempat melepak dan menonton tv. Mak Lijah masih ingat lagi, setiap malam rumah itu akan penuh dengan kaum kerabat Wan yang hendak menonton tv. Pada ketika itu, hanya Wan yang memiliki peti tv di kawasan itu.
Untuk pergi ke dapur, kita perlu turun beberapa anak tangga. Ruang dapur rumah Wan sungguh luas dan bersambung dengan bilik Wan di depannya, tempat Wan melepak sambil menghisap rokok daun. Untuk ke luar rumah dari pintu dapur, kita perlu melalui bilik air. Pada zaman itu, mempunyai bilik air yang bersambung dengan rumah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Jadi untuk menjaga hati orang kampung, Wan pun membina sebuah lagi bilik air di luar rumah, dekat dengan pokok jambu batu.
Bagitulah bentuk rumah Wan. Bagi Mak Lijah yang masih kecil ketika itu, rumah Wan adalah ibarat mahligai dan Mak Lijah senantiasa ternanti-nanti untuk pulang ke situ.
Friday, March 26, 2004
Rumah Wan
No comments:
Post a Comment